icapital.biz isytihar pembayaran dividen interim sulung sebanyak 10.41 sen | DagangNews Skip to main content

icapital.biz isytihar pembayaran dividen interim sulung sebanyak 10.41 sen

Tan Teng Boo
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 27 Sept - icapital.biz Bhd, satu-satunya dana tertutup yang tersenarai di Malaysia, mengisytiharkan dividen interim sulungnya sebanyak 10.41 sen sesaham ICAP untuk tahun kewangan berakhir 31 Mei 2025.

 

Pelan pelaburan semula dividen syarikat (DRP), juga akan digunakan untuk keseluruhan bahagian dividen interim ini.

 

Ini bermakna pemegang saham akan diberi pilihan untuk melabur semula dividen interim mereka ke dalam saham ICAP baharu.

 

Lembaga ICAP juga menetapkan harga terbitan saham baharu yang akan diterbitkan berikutan DRP pada RM2.92 sesaham.

 

Harga terbitan ini menghampiri harga pasaran purata wajaran volum 5 hari sejurus sebelum tarikh penetapan harga RM3.02, dan merupakan dividen ex-interim.

 

Tarikh kelayakan bagi dividen interim akan diumumkan selepas kelulusan diperoleh daripada Bursa Malaysia untuk penyenaraian dan sebut harga saham baharu.

 

Wakil ICAP, Tan Teng Boo berkata, pihaknya merangka dasar dividen yang sangat inovatif ini untuk menangani keperluan pelbagai pemilik saham – mereka yang mencari peningkatan modal jangka panjang, mereka yang memerlukan pengagihan tetap dan mereka yang mungkin perlu tunai dalam pegangan mereka.

 

“Sementara itu, DRP menunjukkan kami yakin dengan prospek pertumbuhan ICAP. Jika pemegang saham percaya pada peningkatan modal jangka panjang ICAP, DRP menyediakan jalan yang baik untuk pemegang saham mengekalkan penyertaan mereka dalam ICAP.”

 

Sebagai latar belakang, dasar dividen inovatif ICAP pertama kali diumumkan pada 29 September 2023.

 

Ia dirumuskan seperti berikut: Kadar Asas 1% daripada NAB ICAP sesaham, ditambah 8% daripada perbezaan antara harga saham ICAP dan NAB. Tambahan 8% ini dirujuk sebagai Kadar Tambah Nilai. Secara ringkasnya, dasar dividen inovatif ini terdiri daripada agregat Kadar Asas 1% dan Kadar Tambah Nilai 8%.

 

Di bawah prosedur bertulis yang ditetapkan oleh ICAP menurut Peraturan-Peraturan Industri Sekuriti (Depositori Pusat) (Pemilikan Asing) 1996, warga asing yang memegang saham dalam had 20% daripada jumlah bilangan saham yang diterbitkan, juga berhak mendapat dividen interim, dan maka pilihan untuk melabur semula saham mereka ke dalam DRP. Ini dengan syarat bahawa penyertaan sedemikian tidak akan mengakibatkan pelanggaran Had Ditetapkan. - DagangNews.com