KUALA LUMPUR 8 Okt - Inter-Pacific Research memulakan liputan ke atas CAB Cakaran Corporation Bhd dengan saranan 'Beli' pada harga sasaran (TP) RM1.00 sesaham.
Firma penyelidikan itu menilai CAB pada RM1.00, diperoleh daripada menambat 7 kali sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PER) bagi pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2025 (FY25) sebanyak 14.3 sen.
"Kami menganggap sasaran PER sebanyak 7 kali adalah adil, memandangkan purata PER bagi satu tahun kehadapan bagi rakan industri pada masa ini berada pada 8.8 kali," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
CAB ialah pengeluar ayam itik bersepadu yang terlibat dalam aktiviti perniagaan huluan dan hiliran industri ternakan ayam itik.
Kumpulan ini terlibat terutamanya dalam penternakan anak ayam induk (DOC), penternakan, pemprosesan dan pemasaran ayam pedaging dan pengendalian dan francais perniagaan makanan segera.
Inter-Pacific Research berkata, CAB dijangka memacu pertumbuhan pendapatannya daripada pangkalan pelanggannya yang mantap dan pelbagai daripada jenama makanan segera tempatan dan global yang beroperasi di Malaysia, dengan hubungan pelanggan antara enam hingga 27 tahun.
"Selain itu, pemodenan yang pesat di Malaysia yang telah membawa kepada perubahan dalam keutamaan diet, menyumbang kepada pertumbuhan industri pemprosesan makanan.
"Kami menyukai kumpulan itu kerana pengembangan dalam aktiviti perniagaan hilirannya dan berubah menjadi pemain makanan bersepadu sepenuhnya dalam tempoh lima tahun akan datang dan menjadi pembekal kepada pelbagai operasi jenama makanan segera di Malaysia.
"Kami menjangka kumpulan itu akan mendapat manfaat daripada kebangkitan semula strategi pertumbuhan bukan organik, dengan menyatakan perjanjian usaha samanya dengan Salim Group dijangka dihidupkan semula menjelang akhir 2024.
"Salim Group merupakan konglomerat terbesar di Indonesia dan mempunyai pengaruh yang signifikan dalam industri makanan melalui beberapa aset terkenal, melalui perjanjian usaha sama ini, CAB boleh memanfaatkan rangkaian dan kehadiran Salim Group dalam segmen makanan Indonesia," katanya.- DagangNews.com