Jualan hartanah Mah Sing cecah RM1.85 bilion sejajar dengan sasaran kumpulan pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Jualan hartanah Mah Sing cecah RM1.85 bilion sejajar dengan sasaran kumpulan pada 2024

Pangsapuri M Oscar, Kuala Lumpur - Gambar hiasan dari laman web rasmi Mah Sing
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Nov - Mah Sing Group Bhd mencatat jualan hartanah sebanyak RM1.85 bilion dalam sembilan bulan pertama 2024 (9MFY24), sejajar dengan sasaran kumpulan untuk mencapai jualan RM2.5 bilion untuk tahun tersebut.

 

Pemaju hartanah itu berkata, prestasi kukuh itu menyerlahkan kejayaan perancangan strategik hartanah an sumbangan hasil Siri Mnya, yang disasarkan kepada pembeli rumah kali pertama.

 

Pada suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24), keuntungan bersih Mah Sing meningkat 20% kepada RM60 juta berbanding RM50 juta, dan mencatatkan pendapatan sesaham 2.35 sen atau 2.06 sen pada suku tahun lalu.

 

Hasil, bagaimanapun, menyusut kepada RM639.3 juta berbanding RM644.3 juta yang dicatat pada tahun lepas.

 

Bagi 9MFY24, pemaju hartanah itu mencatatkan keuntungan bersih RM180.3 juta, meningkat 19.8% daripada RM150.5 juta manakala hasilnya menurun 8.1% kepada RM1.77 bilion daripada RM1.93 bilion setahun lalu.

 

Kunci kira-kira kumpulan kekal sihat dengan penggearan bersih 0.22x pada 30 September 2024.

 

Mah Sing membeli empat tanah tahun ini dengan potensi nilai pembangunan kasar (GDV) terkumpul RM5.12 bilion, termasuk M Aurora terbaharu di Jalan Klang Lama dengan potensi GDV sebanyak RM660 juta.

 

Pengasas Mah Sing dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, kumpulan tetap berdedikasi untuk memacu kejayaan Siri M dengan tumpuan kepada hartanah kediaman mampu milik.

 

“Dengan pelancaran galeri jualan M Azura dan M Aspira baru-baru ini, kumpulan menjangkakan sumbangan kukuh daripada projek-projek ini. Pada masa yang sama, kami akan meneroka pasaran hartanah yang lain.

 

"Kami juga akan terus meneroka pembelian bank tanah baharu untuk pembangunan kediaman dan perindustrian, sambil giat mengejar peluang kepelbagaian untuk mencipta pendapatan berulang," katanya. - DagangNews.com