Kehadiran pelancong antarabangsa dijangka imbangi kelemahan pendapatan InNature, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Kehadiran pelancong antarabangsa dijangka imbangi kelemahan pendapatan InNature, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Okt - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan kelemahan pendapatan InNature Bhd daripada perbelanjaan domestik akan diimbangi oleh kehadiran pelancong antarabangsa.

 

Katanya, pengukuhan nilai ringgit terutama pada suku ketiga tahun ini juga seharusnya membantu mempertahankan margin pada suku akan datang.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sebagai peruncit produk kecantikan, tahap pelepasan karbon adalah agak rendah.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu konsisten dalam usahanya meminimumkan kesan alam sekitar melalui dasar syarikat mengenai amalan kitar semula produk, kebolehgunaan semula dan penggunaan tenaga.

 

"Dalam aspek ini, kami melihat peningkatan berterusan dalam FY23, dengan jumlah pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang lebih rendah dan penggunaan air pada asas tahun ke tahun," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga meluaskan skop 3 pelepasannya untuk memasukkan perjalanan ulang alik pekerja dan perjalanan perniagaan pada FY23 berbanding pelepasan semata-mata daripada logistik dalaman stok dari gudangnya ke kedai di Malaysia pada FY22.

 

Katanya, Skor ESG yang dikemas kini untuk kumpulan adalah lebih rendah sedikit pada 63 berbanding 64 dalam ulasan terakhir kami terutamanya disebabkan metrik 'S' dan 'G.

 

"Ia juga berkaitan dengan penyertaan wanita yang lebih rendah dalam peranan pengurusan pada 50% (berbanding 83% sebelumnya) dan yang kedua berkaitan dengan peningkatan tahap imbuhan ketua pegawai eksekutif/pengarah urusan dan ahli lembaga pengarah sebagai peratusan daripada keuntungan bersih.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 23 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com