KUALA LUMPUR 26 Sept - Kewangan Islam kini berada di arus perdana, didorong oleh peningkatan minat dalam sukuk, pelaburan halal dan teknologi kewangan Islam, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Pengarah Eksekutif Pasaran Modal Islam (ICM) Sharifatul Hanizah Said Ali berkata industri itu diunjurkan mencecah AS$6.7 trilion menjelang 2027, meningkat daripada AS$4 trilion pada 2022.
Pertumbuhan itu akan didorong terutamanya oleh kelas aset utama seperti sukuk yang dijangka meningkat kepada AS$1.3 trilion daripada AS$788 bilion pada 2022.
Selain itu, aset yang diuruskan oleh institusi kewangan Islam diramalkan meningkat daripada AS$167 bilion kepada AS$200 bilion.
Di Malaysia, ICM telah mencecah RM2.6 trilion setakat Julai 2024, mencerminkan pertumbuhan tahun ke tahun (YoY) sebanyak 10%.
Mengikut sektor, pasaran sukuk mencecah jumlah RM1.3 trilion pada Julai 2024, dengan lebih RM28 bilion diiktiraf sebagai sukuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI).
"Sukuk SRI bermula dengan RM100 juta sedekad lalu dalam sektor Pendidikan, melalui sukuk Ihsan oleh Khazanah dan sejak itu telah berkembang merangkumi bidang seperti tenaga dan utiliti, yang kini menjana 46%," ulas beliau dalam ucaptama semasa IFN Investor Asia 2024:"Building a Resilient and Innovative ICM for Global Impact” hari ini.
Beliau juga mengulas tentang keteguhan pasaran ekuiti patuh syariah yang berjumlah RM1.3 trilion dalam permodalan pasaran, mewakili hampir 80% saham tersenarai di seluruh pasaran Utama, ACE dan LEAP Bursa Malaysia.
“Ekosistem pengurusan dana Islam meletakkan Malaysia antara tiga teratas dunia, dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak AS$32 bilion setakat 2022.
"Ia terdiri daripada dana patuh syariah, yang terdiri daripada mandat swasta dan skim pelaburan kolektif, termasuk produk tersenarai seperti amanah pelaburan hartanah dan dana dagangan bursa, dan produk pelaburan tidak tersenarai seperti dana unit amanah, dana borong dan skim persaraan swasta," katanya.
Beliau juga berkata pasaran modal teroka (VC) dan ekuiti persendirian Malaysia berkembang maju, mencecah RM17.9 bilion dana pada 2023, merangkumi pelaburan syariah dan bukan syariah.
Pada masa ini, Malaysia mempunyai 12 platform perdanaan ramai ekuiti dan 13 platform pembiayaan peer-to-peer (P2P) yang menawarkan rumusan kewangan Islam.
Pada 2023, dana yang diperoleh melalui platform tersebut melonjak lebih empat kali ganda, mencecah RM524.8 bilion.
"Beberapa inisiatif sepanjang dekad lalu menyokong kepimpinan Malaysia dalam ICM dan ekosistem kewangan mampan, disokong oleh peningkatan berterusan dan pembangunan rangka kerja serta panduan kawal selia.
"Ini termasuk rangka kerja sukuk SRI perintis, rangka kerja dana berciri wakaf, rangka tindakan pengurusan dana Islam serta garis panduan produk dan perkhidmatan ICM," ujarnya. - DagangNews.com