KUALA LUMPUR 25 Sept - KPJ Healthcare Bhd bersama Mayo Clinic menganjurkan forum neurologi di Hospital Pakar KPJ Damansara yang memberi fokus kepada gangguan sistem saraf yang menjejaskan pergerakan seperti penyakit parkinson.
Forum itu juga dihadiri oleh pakar neurologi terkemuka, petugas kesihatan dan pakar perubatan untuk membincangkan kemajuan terkini dalam rawatan serta berkongsi pandangan klinikal.
Antara penceramah yang terlibat termasuk Pakar Neurologi Mayo Clinic, Dr. James Bower; Pakar Neurologi KPJ Damansara, Dr. Azmi Abdul Rashid; Pakar Geriatrik KPJ Damansara, Dr. Nordiana Nordin; Pakar Radiologi KPJ Damansara, Dr. Nurhayati Mokhty; Pakar Neurologi KPJ Damansara 2, Dr. Teh Pei Chiek dan Ketua Unit Rehabilitasi, Dr. Parwathi Alagirisamy.
Sesi perkongsian tersebut membincangkan kaedah rawatan terkini, kajian kes mengenai gangguan pergerakan dan strategi pemulihan bagi menambah baik hasil rawatan pesakit.
KPJ Healthcare dalam satu kenyataan berkata, penyakit parkinson merupakan isu global yang semakin meningkat dan membimbangkan, terutamanya melibatkan golongan warga emas.
"Menurut Parkinson’s Foundation, lebih daripada 10 juta orang di seluruh dunia menghidap penyakit itu yang menyebabkan penghidap menggeletar, masalah kekakuan dan keseimbangan.
"Kira-kira 1% daripada individu berumur lebih 60 tahun dan hampir 4% daripada mereka yang berumur lebih 80 tahun dikesan menghidap penyakit ini," katanya.
Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, melalui kerjasama strategik dengan Mayo Clinic, forum itu merupakan sebahagian daripada usahanya meningkatkan tahap penjagaan dalam masalah neurologi, memastikan pesakitnya menerima manfaat daripada kemajuan perubatan global terkini.
"Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan pesakit parkinson dijangka meningkat daripada 20,000 pada 2018 kepada 120,000 menjelang 2040.
"Ini menguatkan lagi kepentingan untuk memastikan petugas kesihatan kita berada dalam keadaan siap siaga bagi menangani kes gangguan neurologi yang semakin meningkat melalui pengetahuan dan pilihan rawatan terbaik," katanya. - DagangNews.com