KUALA LUMPUR 29 Okt - Kumpulan Kitacon Bhd menerusi Kitacon Sdn Bhd telah menerima kontrak daripada Tropicana Alam Sdn Bhd bernilai RM131.9 juta untuk projek perumahan di Kuala Selangor.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak itu melibatkan pembinaan 449 unit rumah teres dua tingkat (20' x 70'), 31 unit rumah teres dua tingkat (22' x 70') dan dua unit pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Bandar Puncak Alam.
Kontrak itu akan bermula pada 1 November 2024 dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan dari tarikh permulaan.
"Kontrak itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham Kumpulan Kitacon.
"Kontrak, bagaimanapun, dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham Kumpulan Kitacon bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan seterusnya sehingga tamat kontrak," katanya.
Faktor risiko yang mempengaruhi kontrak termasuk perubahan dalam persekitaran ekonomi, politik dan kawal selia dan risiko operasi seperti risiko penyiapan dan kekurangan bahan dan buruh mahir yang mana kumpulan akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengurangkannya. - DagangNews.com