KUALA LUMPUR 23 Okt - Sebanyak 7,400 syarikat telah menerima pakai sistem e-invois, dengan 58 juta e-invois dikeluarkan setakat 14 Oktober 2024, kata Kementerian Kewangan (MOF).
Katanya, ia mencerminkan penerimaan positif dalam kalangan syarikat untuk mematuhi pelaksanaan e-invois.
Fasa pertama e-invois yang telah dilancarkan pada 1 Ogos 2024 menyasarkan penglibatan syarikat besar yang mencatatkan jualan tahunan melebihi RM100 juta.
Pada fasa kedua yang akan bermula pada 1 Januari 2025, ia akan melibatkan syarikat dengan pendapatan tahunan antara RM25 juta dan RM100 juta.
“Pelaksanaan penuh e-invois akan bermula pada 1 Julai 2025 yang akan melibatkan semua perniagaan, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen pada Selasa.
Jawapan bertulis itu ditujukan kepada soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam), yang bertanyakan tentang dasar e-invois, faedah dan cabarannya dan bagaimana ia boleh meningkatkan kecekapan sistem cukai serta ekonomi bayangan.
MOF berkata, sistem itu akan mengekang kebocoran cukai dan menangani ekonomi bayangan, manakala data masa nyata bakal mengecilkan peluang bagi perniagaan melaporkan jualan yang kurang atau meningkatkan perbelanjaan mereka.
“Nombor pengenalan unik akan diberikan kepada setiap e-invois yang disahkan, membolehkan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) menjejaki urus niaga semasa audit, memastikan tiada pindaan, penipuan atau pemalsuan e-invois.
“Langkah ini akan meningkatkan kecekapan dan pematuhan kutipan cukai keseluruhan, membantu kerajaan menangani isu berkaitan ekonomi bayangan,” kata kementerian itu.
MOF turut berkata, salah satu cabaran yang dihadapi oleh penjual semasa fasa awal e-invois ialah kesukaran mendapatkan nombor pengenalan cukai (TIN) pembeli untuk pengeluaran e-invois.
"Untuk memudahkan proses mendapatkan TIN pembeli, LHDN sedang membangunkan platform untuk menyemak nombor TIN," katanya.
Bagaimanapun, LHDN telah menambah baik komunikasi melalui pelbagai medium termasuk memberi panduan pengguna dan menerbitkan video pendidikan untuk pembayar cukai.
Selain itu, untuk memastikan pengurusan e-invois berjalan dengan lancar, LHDN telah memperkenalkan fungsi muat naik kelompok dan butirannya boleh didapati dalam garis panduan pengguna di portal MyInvois.- DagangNews.com