Loji H2 Rembus tepati ramalan siap pada 2025, sedia bekal hidrogen pengangkutan transit pantas | DagangNews Skip to main content

Loji H2 Rembus tepati ramalan siap pada 2025, sedia bekal hidrogen pengangkutan transit pantas

Gambar/ Petros MFS Darul Hana
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 Nov - Pembangunan loji hidrogen hijau Rembus (Loji H2 Rembus) di Bintulu, Sarawak, berada di landasan untuk mencapai sasaran siap pada 2025, susulan perjanjian tiga pihak yang ditandatangani pada Februari lalu bersama Sarawak Metro Sdn Bhd dan ICE Petroleum Group.

 

Loji itu akan membekalkan hidrogen hijau (H2) untuk pengangkutan transit pantas autonomi (ART) dan bas feeder berkuasa hidrogen, yang merupakan komponen penting dalam Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

 

Ia menandakan barisan ART pertama Kuching yang dikuasakan oleh hidrogen, menyokong inisiatif Sarawak untuk mengurangkan karbon di kawasan bandar.

 

Untuk makluman, Depot KUTS Rembus berfungsi sebagai pusat utama untuk ART, menyumbang kepada KUTS.

 

Jurucakap rasmi dari SEDC Energy Sdn Bhd (SEDCE), sebuah anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak berkata, Loji H2 Rembus direka khusus untuk Depot KUTS Rembus dan mampu menghasilkan lima tan H2 setiap hari.

 

“Loji H2 Rembus adalah sebahagian stesen pelbagai bahan api Petroleum Sarawak Bhd di Darul Hana (Petros MFS Darul Hana), yang mampu membekalkan H2 di lokasi.

 

"MFS ini juga mampu membekalkan bahan api konvensional seperti RON95, RON97 dan diesel, serta menyediakan kemudahan moden lain seperti pengecasan kenderaan elektrik pantas dan pembekalan H2," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Jelas jurucakap tersebut, SEDCE merancang untuk membina enam lagi MFS di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo bagi jarak kira-kira 200 kilometer antara satu sama lain.

 

Jurucakap itu berkata, visi SEDCE adalah menjadikan Sarawak sebagai pemain utama dalam industri hidrogen dan hab membekalkan hidrogen ke rantau ini dan seterusnya, memanfaatkan sumber daya alam yang kaya dan lokasi strategik negeri berkenaan. 

 

“Teknologi hidrogen masih baharu di Malaysia. Kita harus mengambil teknologi solar sebagai penanda aras. Dahulu ia mahal, tetapi kini lebih mudah dicapai apabila teknologi telah matang.

 

“Teknologi hidrogen akan sampai ke tahap itu, tetapi seperti negara lain, kerajaan perlu memimpin dan mencapai matlamat utama, iaitu pengurangan karbon. Hidrogen tidak harus dilihat sebagai pesaing kepada tenaga boleh diperbaharui (RE) lain. Ia mesti diterima sebagai pelengkap kepada RE lain kerana akhirnya, semua ini dilakukan untuk pengurangan karbon,” tambah jurucakap tersebut.

 

Jurucakap SEDCE berkata, cabaran utama agensi itu adalah penyesuaian teknologi, pembangunan infrastruktur, halangan peraturan dan memastikan rantaian bekalan hidrogen yang stabil untuk pengeluaran hidrogen.

 

“Hidrogen secara amnya masih baharu di Malaysia dan kebanyakan negara di dunia. Di negara maju, pembangunan hidrogen disubsidi oleh kerajaan masing-masing.

 

“Dengan tarif elektrik semasa dari tenaga boleh diperbaharui dan kos tambahan untuk elektroliser serta infrastruktur pengeluaran hidrogen, sokongan dari pihak kerajaan persekutuan dan negeri adalah penting dalam pelbagai rejim cukai, terutamanya apabila sektor hidrogen masih pada peringkat awal,” katanya.

 

Sarawak memulakan perjalanan hidrogennya pada 2018, apabila SEDCE diberi tanggungjawab untuk memacu rantaian nilai hidrogen di Sarawak.

 

SEDCE adalah sebahagian daripada Strategi Pembangunan Pascapandemik Sarawak 2030, Peta Jalan Peralihan Tenaga Negara, serta Peta Jalan Ekonomi dan Teknologi Hidrogen.

 

Jurucakap itu berkata, selain Loji H2 Rembus, SEDCE juga bekerjasama rapat dengan rakan strategik seperti Gentari Sdn Bhd mengenai Sarawak H2 Hub. - DagangNews.com