KUALA LUMPUR 9 Okt - Malakoff Corporation Berhad sekali lagi dinobatkan sebagai Pengeluar Tenaga Bebas Terbaik di persidangan Enlit Asia 2024 di MITEC, Kuala Lumpur.
Anugerah tersebut diterima oleh Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib.
Menurut syarikat penjanaan tenaga multinasional itu, Enlit Asia 2024 menyasar untuk mempromosikan pendekatan inklusif terhadap sumber tenaga, menggalakkan peralihan tenaga ke seluruh Malaysia dan rantau yang lebih luas.
Di bawah tema, “Membenarkan Peralihan Tenaga Multidimensi di ASEAN”, platform tersebut merupakan pusat perbincangan kandungan yang terkini dan rumusan inovatif yang disampaikan terus dari pemimpin industri semasa sidang kemuncak program itu.
Malakoff berkata, mereka telah menjalankan projek pembakaran biojisim di bawah Tenaga Boleh Baharu (RE) secara proaktif untuk menyokong peralihan tenaga Malaysia, pada waktu yang sama memastikan keselamatan tenaga negara tidak terjejas.
“Sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), projek ini mewakili langkah ke arah matlamat Malakoff untuk tenaga mampan.
“Menjelang Mac 2024, Loji Janakuasa Tanjung Bin telah menyelesaikan 2% pemasangan sistem kombinasi pembakaran biojisim sebelum meneruskan penjanaan elektrik dengan mencampurkan pelet kayu dan tandan kosong kelapa sawit (EFB) dengan arang batu selama kira-kira dua bulan.
“Kami merancang untuk meningkatkan nisbah kombinasi pembakaran biojisim kepada 3% - 5% menjelang 2025 dan meningkatkan kepada minimum 15% menjelang 2027, bagi memastikan operasi komersial yang berskala terus menjana kuasa pencampuran bersama biojisim di TBPP,” katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat itu juga berkata, inisiatif tersebut bertujuan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau secara signifikan dengan mengimbangi kira-kira 5,700 kiloton pelepasan setara CO2 setahun, setanding dengan menanam kira-kira 142 juta pokok matang setiap tahun.
Mengenai pencapaian ini, Anwar Syahrin menekankan kepentingan sokongan kerajaan dalam memajukan lagi inisiatif RE Malakoff, khususnya dalam bidang operasi berterusan kombinasi pembakaran biojisim di negara ini.
“Salah satu cabaran utama adalah untuk mendapatkan stok bahan api biojisim yang berkelanjutan dan dari sumber tempatan, serta menguruskan kos yang berubah-ubah yang berkaitan dengannya.
“Pada masa ini, menghasilkan tenaga daripada biojisim adalah 90% lebih mahal daripada arang batu, sebahagian besarnya berpunca kerana bahan api biojisim mengandungi 77% kurang tenaga, tetapi memerlukan jumlah yang lebih besar untuk menghasilkan pengeluaran yang setara," katanya. - DagangNews.com