Malaysia bakal terima manfaat tidak langsung daripada langkah rangsangan China - pakar ekonomi | DagangNews Skip to main content

Malaysia bakal terima manfaat tidak langsung daripada langkah rangsangan China - pakar ekonomi

KUALA LUMPUR 7 Okt - Malaysia berkemungkinan menerima manfaat tidak langsung daripada langkah-langkah rangsangan China baru-baru ini,termasuk pemotongan kadar faedah dan sokongan pasaran hartanah, memandangkan ekonomi negara tersebut yang lebih kukuh mendorong peningkatan permintaan barangan serta perkhidmatan, kata pakar ekonomi.

 

Ahli ekonomi dan Penolong Pengurus Penyelidikan IDEAS Malaysia, Doris Liew berkata, langkah sokongan pasaran hartanah di China seperti pengurangan kadar gadai janji dan keperluan bayaran pendahuluan, boleh meringankan beban perbelanjaan pengguna bagi barangan serta perkhidmatan lain.

 

"Ia berpotensi meningkatkan permintaan eksport Malaysia, termasuk produk makanan sekali gus meningkatkan hasil pelancongan," katanya.

 

Malaysia mencatat kemasukan pelancong China sebanyak 1.44 juta dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

 

“Walaupun rangsangan ekonomi China boleh memberi beberapa implikasi positif kepada Malaysia tetapi, China mungkin tidak menerima kesan itu serta-merta.

 

"Pendekatan yang lebih luas dan menyeluruh diperlukan di China untuk menangani kedua-dua faktor domestik dan luaran yang mempengaruhi perdagangan dan pelaburan," katanya kepada Business Times.

 

Bagaimanapun, Doris menjelaskan kelemahan keseluruhan ekonomi China termasuk kadar pengangguran yang tinggi, khususnya dalam golongan muda, mungkin mengehadkan keberkesanan rangsangan itu.

 

Beliau berkata pengguna mungkin kekal berhati-hati tentang perbelanjaan kerana ketidakpastian tentang kestabilan masa depan kewangan mereka.

 

Beliau juga menjelaskan, Bank Rakyat China (PBoC) menyuntik kecairan ke dalam pasaran saham melalui langkah pembiayaan semula dan cagaran tidak mungkin meningkatkan sentimen perniagaan dan pengguna dengan ketara bagi jangka pendek.

 

Walaupun tindakan itu memberikan peningkatan sementara kepada harga saham, beliau berkata ia tidak menangani isu asas ekonomi yang mendorong kelembapan.

 

PBoC mengurangkan nisbah keperluan rizab untuk bank utama sebanyak 50 mata asas daripada 10% kepada 9.5% menyediakan kira-kira 1 trilion yuan dalam mudah tunai jangka panjang.

 

Sementara itu, kemudahan pinjaman jangka sederhana setahun dikurangkan sebanyak 30 mata asas kepada 2.0%.

 

Bagi pasaran hartanah, bank pusat mengurangkan bayaran pendahuluan untuk pembelian rumah kedua daripada 25% kepada 15% dan kadar gadai janji sedia ada sekitar 50 mata asas.

 

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, permintaan China berkemungkinan kekal memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan global.

 

"Memandangkan China juga merupakan rakan dagang utama bagi Malaysia, pemulihan ekonomi China akan menjadi positif untuk Malaysia. Ini termasuk sektor seperti pelancongan, pembuatan, minyak sawit, minyak dan gas," jelasnya.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, impak kepada Malaysia akan mengambil sedikit masa berikutan kelemahan dalam pasaran hartanah negara kerana sebahagian besar kekayaan rakyat China berada dalam sektor hartanah.

 

Oleh itu, beliau berkata, kejatuhan mendadak harga rumah akan memberi kesan serius kepada kekayaan China, yang seterusnya memberi kesan buruk kepada penggunaan dan pelaburan.

 

"Jadi, apa yang kita lihat sekarang ialah peralihan kuasa China dalam pendirian mereka untuk menjadi lebih proaktif dalam menggalakkan pertumbuhan positif untuk membina keyakinan dalam kalangan perniagaan, pelabur dan isi rumah. "Akan ada selang masa untuk melaksanakan langkah  dasar ekonomi yang bakal memulihkan momentum pertumbuhan," katanya.

 

Jumlah nilai eksport Malaysia ke China turun 2.2% kepada RM120.98 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.- DagangNews.com