Maybank IB jangka 'pilihan mengejut' U Mobile bekerjasama dengan Maxis atau CelcomDigi laksana rangkaian 5G kedua | DagangNews Skip to main content

Maybank IB jangka 'pilihan mengejut' U Mobile bekerjasama dengan Maxis atau CelcomDigi laksana rangkaian 5G kedua

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Nov - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan U Mobile Sdn Bhd yang dipilih secara mengejut oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak akan melaksanakan rangkaian 5G secara sendirian tetapi berkemungkinan bekerjasama sama ada dengan Maxis Bhd atau CelcomDigi Bhd. 

 

Katanya, pemilihan itu juga dilihat tidak akan mengubah scenario dua tinggal, dua pergi (dalam kalangan pemegang saham telekomunikasi Digital Nasional Bhd). 

 

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat itu menyenaraikan CelcomDigi dan Telekom Malaysia Bhd (TM)sebagai antara syarikat yang akan bekerjasama dengannya, dan mereka akan mengurangkan pegangan saham asingnya kepada 20% (daripada 48% pada masa ini).

 

"Sementara itu, CelcomDigi menyatakan, mereka sedang mempertimbangkan beberapa pilihan tanpa memberikan butiran secara terperinci.

 

"Pada masa sama, Maxis mahu berhubung dengan pengawal selia untuk memahami rasionalnya, dan mempertimbangkan pilihannya selepas perbincangan.

 

"Kami percaya U Mobile akan memilih untuk bekerjasama sama ada dengan Maxis atau CelcomDigi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: U Mobile, milik Tan Sri Vincent Tan dipilih menerajui rangkaian 5G kedua Malaysia, kata MCMC

 

Terdahulu, U Mobile tertakluk kepada kelulusan MCMC, dibenarkan untuk bekerjasama dengan MNO (pengendali rangkaian mudah alih) lain dalam pelaksanaan Rangkaian 5G Kedua Malaysia.

 

MCMC akan terus memantau kemajuan pelaksanaan rangkaian 5G kedua Malaysia untuk memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap semua keperluan kawal selia seperti yang diperuntukkan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

 

MNO itu dipilih selepas mereka "menjalankan proses yang teliti merangkumi perbincangan terperinci mengenai aspek teknikal dan komersial", dan pemilihan itu dibuat demi kepentingan "memaksimumkan potensi sebenar teknologi 5G untuk manfaat rakyat, industri, dan bangsa".

 

U Mobile, yang dikaitkan dengan Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, memenangi bidaan terhadap Maxis Bhd dan CelcomDigi Bhd. Tender ditutup pada akhir Julai.

 

Sebelum ini tiga daripada empat pemegang saham DNB (CelcomDigi, Maxis dan UMobile) sebelum ini telah menyerahkan bidaan untuk rangkaian 5G kedua (YTL Comm dikecualikan). - DagangNews.com