MCE Holdings catat untung bersih RM4.14 juta pada 4QFY24 didorong oleh peningkatan kecekapan operasi  | DagangNews Skip to main content

MCE Holdings catat untung bersih RM4.14 juta pada 4QFY24 didorong oleh peningkatan kecekapan operasi 

MCE Holdings Bhd - Gambar hiasan dari lama web rasmi syarikat
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - MCE Holdings Bhd mencatat untung bersih RM4.14 juta bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Julai 2024 (4QFY24), menunjukkan peningkatan 40.7% berbanding RM2.94 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

 

Peningkatan itu didorong oleh kos langsung yang lebih rendah hasil daripada peningkatan kecekapan operasi serta peningkatan pendapatan lain.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar alat ganti automotif itu berkata, hasilnya susut 2.5% kepada RM36.9 juta daripada RM37.9 juta pada 4QFY23 akibat permintaan yang lebih perlahan. 

 

MCE telah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat kedua sebanyak 1.5 sen sesaham, tiga sen lebih rendah daripada sesaham yang diisytiharkan setahun sebelumnya.

 

Ini menjadikan dividen tahun ini kepada tiga sen sesaham berbanding 5.5 sen sesaham dalam tempoh yang sama sebelumnya.

 

Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Julai 2024 (FY24), MCE mencatat peningkatan 3.7% dalam keuntungan bersih kepada RM16 juta daripada RM15.4 juta, manakala hasil tidak berubah pada RM155.7 juta berbanding RM154.9 juta pada tahun sebelumnya.

 

Mengulas prestasi itu, Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Goh Kar Chun berkata pemberian beberapa kontrak jangka panjang utama menunjukkan keupayaan syarikat memenuhi piawaian tinggi sebagai syarikat pengeluar kereta, mengukuhkan kedudukan pasarannya dan prospek pertumbuhan positif untuk masa depan.

 

Goh juga menekanakan salah satu kejayaan Kumpulan itu dalam sektor kenderaan elektrik (EV), di mana MCE telah menerima kontrak pertamanya pada Julai 2024 untuk membekalkan komponen elektronik dan mekatronik EV pertama Perodua. 

 

"Ketika pengembangan syarikat dalam segmen ini, kami akan terus menyampaikan rumusan inovatif yang memenuhi keperluan lanjutan pasaran EV agar kami dapat manfaatkan peluang besar dalam sektor dinamik ini," kata beliau. 

 

 

MCE
Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Goh Kar Chun

 

Memandang ke hadapan, Goh yakin MCE akan mendapat manfaat daripada peralihan global pembuatan ke Asean yang bakal mewujudkan peluang eksport baharu.

 

Beliau turut menekankan pengembangan kapasiti syarikat berada di landasan yang betul, dengan Hab Auto MCE di Serendah yang dijangka beroperasi pada separuh kedua tahun depan.

 

"Hab itu akan membolehkan kami menggandakan kapasiti pengeluaran, menguasai bahagian yang lebih besar dalam kedua-dua pasaran automotif dan peralatan gantian. 

 

"Ia juga akan meningkatkan keupayaan kami dengan ketara membangunkan komponen dan sistem elektronik yang lebih canggih, menangani permintaan yang semakin meningkat untuk kenderaan generasi akan datang di peringkat tempatan dan antarabangsa,” jelasnya.- DagangNews.com