KUALA LUMPUR 20 Nov - Operasi Dialog Group Bhd dijangka kekal kukuh berdasarkan peningkatan kemahiran tenaga kerja dan penyesuaian teknologi digital baharu walaupun terdapat konflik geopolitik yang berterusan di Asia Barat serta pemotongan bekalan produk petroleum OPEC+ berpanjangan.
MIDF Research berkata, selain itu, tindak balas pasaran terhadap pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan menambah lagi tekanan luaran terhadap operasi Dialog.
Disebalik tekanan luaran, MIDF Research kekal optimis terhadap prospek Dialog bagi FY25.
"Walaupun pasaran minyak yang tidak menentu dijangka memberi kesan kepada perniagaan huluan dan hiliran Dialog, kami perhatikan kumpulan itu kekal menumpu kepada medan minyak dan gas sedia ada, serta berhati-hati terhadap permintaan kontrak perkhidmatan EPCC," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut berpendapat harga minyak yang lebih rendah akan memberi manfaat kepada Dialog.
"Kami menjangkakan harga minyak mentah akibat ketegangan geopolitik dan tekanan inflasi ke atas bahan mentah dan kos buruh, akan membantu menyokong perniagaan ladang penyimpanan Dialog dan menyokong pembangunan semasa Terminal Air Dalam Pengerang (PDT).
"Ini termasuk pengembangan kemudahan fabrikasi di Pengerang dengan tumpuan kepada penyediaan perkhidmatan industri tenaga, kimia, farmaseutikal, solar dan pusat data.
"Oleh itu, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap Dialog dengan harga sasaran (TP) RM2.72 sesaham," katanya. - DagangNews.com