KUALA LUMPUR 29 Okt - MooMoo Securities Malaysia melancarkan Cash Plus, rumusan pengurusan tunai strategik yang menawarkan pulangan dijamin 5% setahun.
Syarikat itu juga mengenalkan SmartSave, perkhidmatan automatik yang menyasar untuk memaksimumkan wang tunai.
Dengan pengenalan kedua-dua ciri itu, Moomoo berkata, mereka menetapkan tahap baharu dalam pengurusan tunai dengan menggabungkan pulangan tinggi dan automasi pintar.
Ketua Pegawai Eksekutif Moomoo Malaysia, Ivan Mok berkata, ramai rakyat Malaysia masih berhati-hati untuk melabur, dengan 51% orang dewasa masih belum bermula dan bagi yang telah bermula, lebih suka pilihan berisiko rendah.
"Cash Plus dibina berdasarkan prinsip-prinsip teras ini, menawarkan penyelesaian berisiko rendah dan fleksibel yang menyediakan pulangan bermakna sambil mengekalkan akses segera kepada dana.
"Produk ini dapat memberi peluang kepada pelabur mengembangkan kekayaan mereka dengan berkesan sambal memberi jaminan keselamatan pelaburannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Cash Plus yang memberi jaminan pulangan tahunan lima peratus dalam tempoh 30 hari pertamanya menyasar untuk memenuhi keperluan pelabur yang mencari hasil tinggi tanpa komitmen jangka panjang.
Selain daripada jaminan pulangan tahunan tu, ia juga mengekalkan kecairan yang diperlukan oleh pelabur untuk bertindak cepat dalam pasaran yang bergerak pantas.
Sementara itu, SmartSave secara automatik memindahkan wang tunai yang tidak digunakan ke dalam Cash Plus pada permulaan setiap hari perniagaan, memastikan dana kekal produktif tanpa campur tangan manual.
Tidak seperti rumusan tradisional, SmartSave menyimpan dana tersedia bagi peluang dagangan atau pelaburan segera yang akan membantu pelabur memanfaatkan tunai mereka tanpa kehilangan pertumbuhan.
Mok juga berkata, dengan mengautomasikan proses ini, Moomoo mampu memperkasakan pelabur memperoleh pulangan yang lebih tinggi sambil mengekalkan kecairan diperlukan untuk bertindak pantas dalam pasaran yang bergerak pantas.
Sementara tu, Moomoo berkata, Cash Plus juga akan memenuhi keperluan kedua-dua pelabur yang berhati-hati dan mereka yang ingin memperkayakan portfolio dengan aset bervolatiliti rendah.- DagangNews.com