OM Sarawak bakal tukar sisa haba kepada 70MW tenaga bersih, labur RM1.09 bilion tingkatkan sistem | DagangNews Skip to main content

OM Sarawak bakal tukar sisa haba kepada 70MW tenaga bersih, labur RM1.09 bilion tingkatkan sistem

Low Ngee Tong (dua kiri) bersamaTan Sri Abang Johari Tun Openg (tiga kiri) sempena majlis ulang tahun ke-10 OM Sarawak di Bintulu pada 29 Okt 2024. - Gambar/ Facebook UKAS
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Okt - Hasil kajian awal OM Sarawak mendapati, pemulihan sisa haba daripada operasi peleburan sedia da berpotensi menjana tenaga bersih sehingga 70 megawatt. 

 

Ketua Pegawai Eksekutifny Om Holdings Limited, Low Ngee Tong berkata, syarikat itu yang  mengendalikan peleburan ferroalloy terbesar di luar China di Sarawak, kini sedang meneroka kaedah untuk memanfaatkan sisa haba daripada proses perindustriannya, dan tidak mahu membiarkannya sekadar menjadi bahan buangan.

 

"Inisiatif itu akan meningkatkan kecekapan tenaga keseluruhan operasi kami dengan ketara sambil mengurangkan jejak alam sekitar kami dan menyumbang kepada kemampanan," katanya semasa majlis makan malam sempena lang tahun ke-10 kumpulan itu di Bintulu, semalam.

 

Majlis itu dirasmikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

 

Ngee Tong berkata, kumpulan itu merancang untuk melabur AS$250 juta (RM1.09 bilion) dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang untuk menaik taraf sistem relaunya, bagi mengoptimumkan proses industrinya.

 

"Kami mengutamakan kecemerlangan operasi dengan menumpukan pada penyusunan semula relau sedia ada dan menggantikan beberapa dengan teknologi yang lebih besar dan termaju yang menggabungkan ciri alam sekitar,” katanya.

 

Beliau menggariskan visi OM Sarawak untuk dekad akan datang, termasuk membangunkan model perniagaan yang mampan melalui inisiatif seperti penanaman pokok, penuaian, dan penanaman semula untuk menghasilkan arang sebagai alternatif boleh diperbaharui kepada arang batu.

 

“Tenaga bersih Sarawak yang boleh dipercayai, pendekatan strategik dan lokasi geografi yang ideal menjadikannya sesuai untuk kami,” katanya.

 

Sejak penubuhannya sedekad lalu, OM Sarawak telah berkembang menjadi pembekal yang boleh dipercayai untuk pengeluar keluli di rantau ini, setelah melabur lebih AS$550 juta (RM2.42 bilion) bagi membangunkan kemudahannya menjadi peleburan terbesar di luar China.

 

Beliau berkata, projek itu akan terus menyokong pembuat keluli serantau dengan menyediakan bekalan aloi yang stabil.

 

Pada 2023 sahaja, OM Sarawak menyumbang RM840 juta kepada ekonomi Sarawak, mewujudkan pekerjaan, menyokong perniagaan tempatan, dan memupuk peluang baharu.

 

Syarikat itu juga telah mencapai lebih 80% perwakilan tenaga kerja tempatan, iaitu tujuh kali lebih banyak pada penubuhannya sedekad lalu.- DagangNews.com