Pelabuhan Bintulu manfaatkan AI tingkatkan kecekapan operasi, kukuh matlamat mampan  | DagangNews Skip to main content

Pelabuhan Bintulu manfaatkan AI tingkatkan kecekapan operasi, kukuh matlamat mampan 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Sept - Pelabuhan Bintulu memanfaatkan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) dan inovasi automasi bagi meningkatkan kecekapan operasi dan kemampanan, menurut Pengerusi Bintulu Port Holdings Berhad, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

 

Mohammad Abu Bakar, yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak berkata, pelabuhan itu telah mencapai beberapa kejayaan, termasuk perkongsian dengan Giga Shipping untuk mengendalikan kenderaan ro-ro (roll-on/roll-off) di Terminal Kereta Bintulu baharu.

 

“Kerjasama ini merupakan langkah penting dalam perjalanan kami untuk mengukuhkan Pelabuhan Bintulu sebagai hab pemindahan ro-ro terkemuka, matlamat yang telah kami usahakan dengan gigih.

 

“Seterusnya kami bekerjasama dengan Raw Energy dalam pengendalian pelet Rumput Tropika Hibrid, kargo biojisim neutral karbon yang inovatif,” katanya pada pelancaran rasmi Pangkalan Bekalan Minyak dan Gas Borneo (BOG) semalam.

 

Selain itu, pelabuhan itu juga bekerjasama dengan Surbana Jurong bagi memacu perindustrian pelabuhan dan Asas Stabil dalam tinjiaun kesan perubahan iklim.

 

bintulu port
Pengerusi Bintulu Port Holdings Berhad, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

 

Pelabuhan itu juga mengembangkan perkhidmatan marinnya bagi menyokong aktiviti minyak dan gas luar pesisir dan meningkatkan kapasiti pengendalian kargonya dengan terminal baharu di Bintulu dan Samalaju.

 

“Peningkatan ini akan meletakkan kami untuk memenuhi pertumbuhan masa depan dan mengukuhkan peranan kami sebagai hab logistik strategik di rantau ini,” ujarnya.

 

Beliau juga berkata pembangunan zon bebas di kedua-dua pelabuhan dijangka merangsangkan pertumbuhan ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan ke rantau ini.

 

“Satu lagi inisiatif utama ialah pelaksanaan penyelesaian penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di Pelabuhan Samalaju yang turut menjai bukti komitmen kami untuk mengurangkan pelepasan karbon dan memajukan masa depan yang lebih hijau.

 

“Melihat ke hadapan, kami juga sedang menjalankan usaha tebus guna tanah untuk menggandakan  saiz pelabuhan sedia ada dalam tempoh 50 tahun akan datang bagi memenuhi permintaan jangka panjang industri,” jelasnya.

 

Selaras dengan pembangunan tenaga hijau dan ekonomi hijau Sarawak, beliau berkata, Pelabuhan Bintulu telah diiktiraf oleh Pensijilan Hijau Bureau Veritas.

 

Diiktiraf di peringkat global sebagai terminal eksport gas asli cecair (LNG) ketiga terbesar, beliau berkata Pelabuhan Bintulu adalah pintu masuk utama untuk Malaysia Timur.

 

Pelabuhan itu telah berjaya memudahkan lebih 13,130 penghantaran LNG. -DagangNews.com