Pelabur asing jual RM882.4 juta ekuiti tempatan buat minggu kelapan berturut-turut, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual RM882.4 juta ekuiti tempatan buat minggu kelapan berturut-turut, kata MIDF Research

Gambar hiasan dari Unsplash
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Dis - Pelabur asing terus menjual ekuiti tempatan di Bursa Malaysia untuk minggu kelapan berturut-turut dengan aliran keluar berjumlah RM882.4 juta, kata MIDF Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jumlah tersebut menjadikannya aliran keluar minggu kedua tertinggi dalam tempoh enam minggu yang lalu.

 

Katanya, setiap hari dagangan sepanjang minggu lepas sehingga 13 Disember 2024 mengalami aliran keluar asing bersih dengan aliran keluar terbesar berlaku pada hari Khamis berjumlah RM351.2 juta.

 

 

“Aliran keluar paling banyak dicatatkan pada Khamis, diikuti dengan Rabu (RM273.2 juta), Selasa (RM120.4 juta), Isnin (RM90.9 juta) dan Jumaat (RM46.7 juta).

 

"Berdasarkan data yang tersedia sehingga 12 Disember 2024, satu-satunya sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih ialah pembinaan (RM50 juta), penjagaan kesihatan (RM17.5 juta) dan hartanah (RM10 juta).

 

"Sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih asing tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM318.1 juta), utiliti (RM234.4 juta) dan teknologi (RM76.7 juta)," katanya dalam satu laporan aliran dana, hari ini.

 

Institusi tempatan sekali lagi menjadi penyokong utama bursa tempatan, mencatatkan aliran masuk RM995.5 juta.

 

Katanya, tiada aliran keluar sepanjang minggu lepas daripada kelas pelabur ini, dengan hari Rabu dan Khamis menyaksikan aliran masuk tertinggi masing-masing pada RM264 juta dan RM352.2 juta.

 

"Peruncit tempatan kekal sebagai penjual bersih minggu lepas, dengan mencatat aliran keluar berjumlah RM113.1 juta, 2.65 kali kurang daripada aliran keluar minggu sebelumnya.

 

"Pelabur dalam kumpulan itu terus menjadi penjual bersih pada setiap hari dagangan kecuali pada Rabu, yang mencatatkan aliran masuk sebanyak RM9.2 juta.

 

"Aliran keluar terbesar dicatatkan pada Jumaat pada RM83 juta," kata MIDF Research.

 

Sementara itu, purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan pengurangan merentas semua kategori pelabur minggu lepas.

 

Pelabur asing dan pelabur institusi tempatan mencatatkan penurunan masing-masing sebanyak 20.5% dan 8.3%, manakala pelabur runcit tempatan menyusut sebanyak 14.4%.- DagangNews.com