Pelaksanaan IBR dalam Industri Bekalan Elekrik memanfaatkan rakyat | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan IBR dalam Industri Bekalan Elekrik memanfaatkan rakyat

Oleh JOHARDY IBRAHIM

Pengenalan Rangka kerja IBR

IBR (Incentive-Based Regulation) atau Pengawalselian Berasaskan Insentif adalah sebuah rangka kerja kawal selia yang telah diperkenalkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) pada tahun 2014 sebagai sebahagian daripada pembaharuan di dalam industri bekalan elektrik di Malaysia.

 

Rangka kerja ini juga diperluaskan ke sektor lain seperti gas dan pengurusan lapangan terbang.

 

Malaysia merupakan satu daripada negara terawal di ASEAN yang menerima pakai rangka kerja ini, selepas Filipina.

 

Kelebihan pelaksanaan IBR adalah untuk memastikan ketelusan dalam mengawal selia TNB dan menggalakkan kecekapan dalam industri elektrik serta memastikan tarif lebih adil dan telus untuk rakyat.

 

Di bawah IBR, ST memastikan proses penentuan kos efisien pembekalan elektrik dan proses pemulihan kos dilaksanakan dengan ketat dan teliti. Hasil daripada proses ini ialah penterjemaahan kepada tarif elektrik pelanggan yang optimum dan berpatutan.

 

 

suruhanjaya tenaga

 

 

Pada masa ini, tempoh kawal selia ialah 3 tahun dan kita kini berada dalam tempoh kawal selia ke-3 (2022-2024).

 

Di samping itu, TNB juga diberikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna mencapai tahap prestasi yang terbaik.

 

Di bawah rangka kerja IBR, terdapat lima entiti utama yang dikawalselia iaitu: Penghantaran (Grid), Pembeli Tunggal (Single Buyer), Operator Sistem Grid (Grid System Operator), dan Rangkaian Pengedaran (Distribution) serta Perkhidmatan Pelanggan (Retail).

 

Melalui akaun kawal selia entiti yang berasingan, Suruhanjaya Tenaga boleh membahagikan tarif elektrik kepada komponen-komponen kecil untuk memastikan ketelusan kadar elektrik kepada pengguna.

 

Pembeli Tunggal (Single Buyer), yang dahulunya sebahagian daripada TNB, kini merupakan entiti ring-fenced untuk mengelakkan sebarang konflik kepentingan.

 

Entiti ini bertanggungjawab membeli elektrik daripada TNB dan Penjana Tenaga Bebas (IPP) berdasarkan kos penghantaran terendah untuk seterusnya diedarkan oleh TNB melalui grid kepada pengguna.

 

Kos penjanaan

Kos elektrik dibahagikan kepada dua komponen utama:

  1. Tetap: Kos yang tidak atau kurang terjejas oleh harga pasaran seperti kos operasi dan penyelenggaraan yang ditetapkan setiap kitaran tiga tahun tempoh kawal selia.
     
  2. Berubah: Kos yang terjejas dengan pasaran dunia seperti  harga arang batu, gas dan kadar pertukaran ringgit.

 

Kos bahan api dan penjanaan adalah sekitar 70% daripada keseluruhan kos tarif asas, manakala selebihnya merupakan kos operasi dan penyelenggaraan sistem pembekalan elektrik termasuk pembilan. Kos-kos ini ditetapkan oleh Suruhjaya Tenaga untuk tempoh kitaran tiga tahun.

 

 

TNB

 

 

Penjanaan tenaga di Semenanjung Malaysia yang bergantung kepada bahan api fosil terdedah kepada risiko harga pasaran dunia.

 

Penjanaan tenaga adalah terbahagi kepada 53% arang batu, 42% gas asli, dan selebihnya 5% adalah hidro serta tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy).

 

Sumber arang batu diimport sepenuhnya, terutamanya dari Indonesia (63%), Australia (24%), Rusia (11%), dan Afrika Selatan (2%). Gas pula diperoleh dari pantai timur Semenanjung dan diimport dalam bentuk gas asli cecair.

 

Selain tarif pengguna, rangka kerja IBR juga melaksanakan ICPT (Imbalance Cost Pass-Through) iaitu sebuah mekanisme semakan kos bahan api dan penjanaan merangkumi perubahan harga gas domestik, gas import, dan arang batu untuk tempoh enam bulan.

 

Mekanisme ICPT yang telah bermula sejak tempoh kawal selia pertama Januari 2015 ini membolehkan pelarasan bil elektrik pengguna setiap enam bulan yang menghasilkan rebat atau surcaj, bergantung kepada perubahan kos bahan api dan penjanaan elektrik berbanding dengan kos yang telah dimasukkan dalam tarif pengguna pada awal tempoh kawal selia.

 

Pergerakan harga gas import dan harga arang batu, serta gas domestik dalam tempoh enam bulan sebelumnya, akan menghasilkan surcaj atau rebat dalam enam bulan berikutnya. Sedentara itu, kos ditanggung oleh TNB

 

Rangka kerja IBR bagus untuk pengguna

Walaupun cabaran wujud, rangka kerja Incentive-Based Regulation (IBR) pada masa ini kekal relevan dan akan sentiasa disemak oleh kerajaan bagi menyesuaikannya dengan perubahan landskap.

 

IBR membawa transformasi besar kepada sektor tenaga Malaysia, di mana ia memastikan pelaburan yang berterusan dalam pembangunan infrastruktur tenaga oleh utiliti dengan tarif yang dipastikan adil agak tidak membebankan pengguna.

 

 

parafrasa

 

 

Kestabilan ini adalah penting untuk negara bersedia menghadapi keperluan masa depan terutana agenda peralihan tenaga tanpa dibebani kos masa lalu.

 

Model ini mengatasi isu seperti ketidakcekapan kos dan tarif tidak jelas.

 

Secara ringkasnya, rangka kerja IBR memacu kecekapan dalam sektor tenaga, memberi manfaat kepada industri dan rakyat, serta memastikan bekalan elektrik sentiasa stabil dan berdaya harap. - DagangNews.com