Pelan hala tuju 10 tahun Johor Plantations Group sasar bangunkan pelbagai aliran pendapatan sambil terajui kelestarian   | DagangNews Skip to main content

Pelan hala tuju 10 tahun Johor Plantations Group sasar bangunkan pelbagai aliran pendapatan sambil terajui kelestarian  

Kilang efluen kilang kelapa sawit (POME) di Johor Plantations Group
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Okt - Dalam usaha menjadi sebuah syarikat sawit bersepadu yang menerajui masa depan yang lebih mampan, Johor Plantations Group Berhad (JPG) mengemukakan pelan hala tuju 10 tahun bagi meningkatkan operasi dan membangunkan pelbagai aliran pendapatan.

 

Pelan hala tuju tersebut melibatkan tiga teras iaitu membangunkan aliran pendapatan baru, menerokai segmen hiliran perniagaan dan mengukuhkan segmen huluan. 

 

Pengarah Urusan JPG, Mohd Faris Adli Shukery berkata, pelan komprehensif itu menyasar untuk menjadikan JPG sebagai pengeluar minyak dan lemak premium pilihan utama di peringkat global yang juga mematuhi dasar kemampanan. 

 

Bagi mempelabgaikan saluran pendapatan JPG, syarikat itu menggunakan biogas yang dihasilkan daripada efluen kilang kelapa sawit (POME), yang bukan sahaja akan digunakan untuk menjana sumber tenaga operasi kilang dan ladang, namun juga dibekalkan secara komersial sebagai biometana kepada Gas Malaysia Green Venture Sdn Bhd (GMGV). 

 

"Ini merupakan usaha kami untuk mengurangkan pelepasan karbon dan peralihan ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) seperti gas biometana yang merupakan alternatif yang lebih bersih. 

 

"Selain dariada itu, kami juga mengekstrakkan minyak sawit merah daripada hampas serat kelapa sawit (mesocarp fiber), iaitu hasil sampingan daripada pemprosesan buah tandan segar (BTS) untuk digunakan sebagai sumber bahan api," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

JPG
Johor Plantation Group mengintegrasikan dron dalam ladang kelapa sawitnya. 

 

JPG juga akan menerokai segmen hiliran dalam industri minyak sawit dengan menggunakan hasil saham Tawaran Awam Permulaan (IPO) untuk membangunkan Kompleks Minyak Sawit Lestari Bersepadu (ISPOC). 

 

Katanya, kompleks itu dijangka siap pada suku ketiga 2026, terdiri daripada sebuah kilang penapisan yang menghasilkan minyak dan lemak dengan menggunakan tenaga boleh diperbaharui, kilang sawit, kilang penghancuran isirung sawit, serta kilang makanan haiwan.

 

Bagi teras yang ketiga, iaitu tumpuan perniagaan huluan, JPG akan merangkumi penerokaan teknik-teknik penanaman semula yang baru. 

 

JPG
Gambaran artis Kompleks Minyak Sawit Lestari Bersepadu (ISPOC) yang akan dibina oleh Johor Plantations Group Berhad.

 

"Kami juga akan menggunakan baka tanaman berkeupayaan tinggi, mempertingkat pengeluaran MSM, mempercepatkan pengunaan mekanisasi dan automasi, mengoptimumkan proses kilang melalui automasi dan Perancangan Sumber Enterprise (ERP), serta mengkomersialkan baka tanaman," katanya. 

 

Sementara itu, JPG berkata, kelestarian akan terus menjadi tunjang utama kepada operasinya kerana peningkatan permintaan terhadap minyak sawit yang dihasilkan secara mampan.- DagangNews.com