KUALA LUMPUR 9 Okt - Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) diunjur menerima manfaat daripada pengurangan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) pada September 2024.
RHB Investment berkata, pemotongan kadar Fed merupakan pemangkin yang diperlukan oleh REIT untuk menarik perhatian kepada REIT Malaysia.
"Sektor ini mungkin menjadi lebih rancak dengan tarikan penyenaraian REIT dan pemerolehan aset baharu dijangka meningkat.
“Walaupun kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka kekal pada 3%, kami percaya REIT Malaysia di bawah perlindungannya (M-REITs) masih akan mendapat manfaat daripada jangkaan pemotongan kadar faedah di seluruh dunia.
“Ini disebabkan perbezaan kadar yang mengecil antara Malaysia dan negara lain akan memacu modal ke dalam bon Malaysia,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Firma penyelidikan itu menyenaraikan Sunway REIT dan Axis REIT sebagai pilihan utamanya.
Katanya, kedua-dua REIT mungkin akan melihat prospek pertumbuhan yang lebih baik.
Selain sokongan padu daripada penajanya Sunway Bhd yang boleh memastikan saluran aset yang mampan, RHB Investment menyukai Sunway REIT kerana prospek pendapatannya yang teguh, disokong oleh portfolio yang perlabagai dan strategi pemerolehan aktif.
Mengenai Axis REIT, firma penyelidikan itu dianggap sebagai proksi yang baik kepada segmen hartanah perindustrian yang berdaya tahan.
“Ini terutamanya apabila REIT telah meningkatkan kadar dalam pengambilalihan baharu tahun ini di mana kedua-dua REIT tersebut berkemungkinan memiliki aset pusat data pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, RHB Investment meletakkan saranan "beli" ke atas Sunway REIT dan Axis REIT dengan harga sasaran (TP) masing-masing RM1.92 dan RM2.11. - DagangNews.com