Penampilan sulung KHPT di Pasaran ACE Bursa Malaysia catat 29 sen, naik 45% | DagangNews Skip to main content

Penampilan sulung KHPT di Pasaran ACE Bursa Malaysia catat 29 sen, naik 45%

(Dari kiri) : Pengarah, Kewangan Korporat KAF Investment Bank Berhad, Azmi Hariss Ibrahim; Ketua/Pengarah Bersama, Kewangan Korporat KAF Investment Bank Berhad, Ahmad Fazlee Aziz Pengarah Bebas Bukan Eksekutif KHPT Holdings Berhad, Datuk Noor Azian Shaari; Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif KHPT Holdings Berhad, Datuk Noripah Kamso;Pengarah Urusan Kumpulan KHPT Holdings Berhad, Datin Eloise See;Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan KHPT Holdings Berhad, Hideki Nomura
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Okt - Pembekal alat ganti automotif KHPT Holdings Bhd membuat penampilan sulung pada Selasa di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Saham kumpulan itu dibuka pada 29 sen, menandakan premium sembilan sen atau 45% berbanding harga terbitannya 20 sen sesaham, dengan volum pembukaan 15 juta saham didagangkan pada 9 pagi.

 

KHPT mengumpul RM21.73 juta melalui terbitan awam sebanyak 108.64 juta saham biasa baharu berharga 20 sen setiap satu, dengan lebih 75% daripada hasil diperuntukkan untuk perbelanjaan modal.

 

Daripada jumlah itu, RM11.05 juta (50.8%) diperuntukkan untuk pembelian mesin penekan, RM4.5 juta (20.7%) untuk peralatan automasi, RM450,000 (2.1%) untuk pengubahsuaian kilang dan RM370,000 (1.7%) untuk kren overhed.

 

Sementara itu, RM700,000 diperuntukkan untuk modal pusingan, diikuti RM4.66 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif KHPT, Datuk Noripah Kamso berkata, dengan permodalan pasaran RM80.48 juta, kami berada pada kedudukan yang strategik untuk memanfaatkan hubungan Kumpulan dengan Proton dan Perodua iaitu antara jenama yang menguasai pasaran tempatan.

 

“Penyenaraian hari ini menandakan permulaan pengembangan beransur-ansur kami, baik di Malaysia dan berpotensi ke pasaran antarabangsa, penamplan sulung kami juga akan menetapkan asas bagi cadangan nilai jangka panjang untuk pelanggan, pelabur dan pemegang saham kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu telah menjadi pembekal alat ganti dan komponen automotif kepada Proton selama 29 tahun dan kepada Perodua selama 24 tahun, melalui pembekal dan pengilang 'Tier 1'.

 

KAF Investment Bank Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO. - DagangNews.com