KUALA LUMPUR 18 Okt - Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengunjurkan pendapatan Wasco Bhd bagi suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24) lebih rendah akibat kelemahan segmen kejuruteraan disebabkan beberapa projeknya sudah hampir siap.
Bagaimanapun, harga sasaran (TP) dikekalkan kepada RM1.79 dengan saranan “beli” ke atas Wasco.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan yang dahulunya dikenali sebagai Wah Seong Corp Bhd sedang beralih kepada beberapa projek baharu semasa suku tersebut dengan fasa kejuruteraannya lebih perlahan, berbanding dengan kerja-kerja fabrikasi dan pembinaan.
“Projek penyelenggaraan dan pembinaan modul bahagian atas kapal pengeluaran dan pemunggahan terapung (FPSO) Yinson Production Agogo telah mencapai 83% siap pada Jun 2024.
“Namun begitu, keputusan 4QFY24 dijangka pulih dengan kukuh apabila sumbangan kejuruteraan menjadi normal,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
HLIB Research juga mengunjurkan margin Wasco kekal sihat berikutan persaingan terhad dalam perniagaan salutan paip, serta keupayaannya menyediakan perkhidmatan dalam projek kejuruteraan, perolehan dan pembinaannya.
“Buku pesanan tertunggak Wasco berjumlah RM3.7 bilion pada Jun 2024 itu akan disiapkan dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.
“Berikutan kejayaan projek pencawang Asia Barat bernilai RM700 juta pada 2QFY24, kami mendapati tiada projek besar yang diraih pada 3QFY24 tetapi kami menjangkakan lebih banyak tender akan dilaksanakan pada suku terakhir tahun in,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, pengukuhan nilai ringgit baru-baru ini berbanding dalam dolar AS dijangka tidak memberi kesan ketara kepada pendapatan teras dan margin kumpulan.
HLIB Research berpendapat Wasco berpotensi mengisytiharkan dividen untuk FY24.
Wasco juga diunjurkan untuk menyelesaikan pelupusan perniagaan bukan terasnya, terutamanya yang terdiri daripada cabang dagangan margin rendah kumpulan itu.
"Kami ambil perhatian entiti dagangan mempunyai nilai buku kira-kira RM20 juta pada akhir 2023 dan menjana keuntungan selepas cukai sebanyak RM4.7 juta pada FY23," katanya.
Sementara itu, HLIB melihat Wasco sebagai proksi ideal untuk mengikuti kitaran atas perbelanjaan modal dalam sektor minyak dan gas, dan pecutan perkembangan peralihan tenaga.- DagangNews.com