KUALA LUMPUR 9 Okt - RHB Investment mengunjurkan jumlah pengeluaran untuk penderia gerak isyarat dan cahaya Globetronics Technology Bhd kekal stabil dengan julat sekitar 17 juta hingga 21 juta memandangkan permintaan separuh kedua 2024 yang lebih kukuh.
Katanya, ia adalah di dalam jangkaan memandangkan terdapat peningkatan kepada kitaran telefon pintar baharu.
Firma penyelidikan itu berkata, diod pemancar cahaya sedia ada atau muatan volum LED juga dijangka stabil.
"Dengan pertumbuhan agak statik, pihak pengurusan sedang berusaha untuk mempelbagaikan portfolionya kepada produk dan pelanggan lain," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
RHB Investment berkata, separuh pertama 2024 kumpulan mencecah RM57.7 juta dan hasil teras sebanyak RM9.5 juta.
Katanya, jumlah hasilnya berada di bawah anggaran akibat pemuatan yang lebih perlahan daripada jangkaan untuk produk penderia.
"Ini kerana peruntukan yang lebih rendah dan permintaan yang lebih lemah untuk peranti pintar," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, pendedahan Globetronics terhadap hasil berasaskan dolar AS adalah sekitar 60% hingga70%, dan sebahagian nilainya dilindungi oleh pembelian dalam mata wang AS yang mewakili 40%-50% kos barang jualan (COGS).
"Mampatan margin yang berpunca daripada pergerakan tukaran mata wang asing yang negatif boleh disampaikan kepada pelanggan melalui rundingan semula, sebut harga yang disemak dan kecekapan kejuruteraan dan proses.
"Di samping itu, kami mengambil kira nilai RM/AS yang lebih kukuh selari dengan andaian tukaran mata wang asing dalaman kami kepada 4.40, 4.05 dan 4.20 daripada 4.50, 4.20 dan 4.30 dan mengambil peluang untuk menurunkan pemuatan untuk produk sensornya, memandangkan harga yang lebih rendah, peruntukan dan jualan yang tidak memberangsangkan.
RHB Investment mengekalkan saranan "neutral" terhadap dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada 68 sen daripada RM1.21 sebelum ini.- DagangNews.com