KUALA LUMPUR 20 Nov - Penguatkuasaan tarif presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bakal memberi kesan kepada pertumbuhan perdagangan Malaysia, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu menurunkan unjuran pertumbuhan sektor import dan eksport Malaysia pada akhir 2024 pada 5%, daripada 7.3% dan 13.7% daripada 15%.
Maybank IB juga menurunkan unjuran lebihan dagangan pada tempoh yang sama sebanyak RM119.5 bilion daripada RM131 bilion.
Katanya, perdagangan luaran Malaysia pada 2025 bergantung kepada penguatkuasaan tarif Trump yang dijangka untuk mengenakan tarif yang tinggi ke atas barang import buatan China.
"Kami menurunkan unjuran perkembangan sektor eksport dan import masing-masing sebanyak 4.8% dan 6.8%.
"Oleh kerana risiko penguatkuasaan tarif, kami juga menurunkan unjuran lebihan dagangan sebanyak RM100 bilion daripada RM213 bilion," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Sektor eksport pada Oktober 2024 menyaksikan pertumbuhan 1.6% manakala, bahagian import berkembang dengan perlahan sebanyak 2.6% pada bulan yang sama.
"Prestasi bahagian eksport didorong oleh pemulihan dalam eksport pembuatan dan pertumbuhan eksport pertanian yang mampan.
"Dalam pasaran utama, eksport Malasysia menyaksikan pertumbuhan yang lebih kukuh ke AS dan Kesatuan Eropah (EU).
“Walaubagaimanapun, eksport Malaysia terus merosot dalam penghantaran ke China dan ASEAN.
"Di samping itu, pertumbuhan import lebih perlahan itu akibat kejatuhan mendadak dalam import barangan modal," katanya. - DagangNews.com