Peningkatan FDI dari China dorong penciptaan pekerjaan, pacu pertumbuhan negara - IQI | DagangNews Skip to main content

Peningkatan FDI dari China dorong penciptaan pekerjaan, pacu pertumbuhan negara - IQI

Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden China, Xi Jinping. - Gambar fail
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Okt - Pelaburan langsung asing (FDI) China di Malaysia mencatatkan peningkatan dan mendorong penciptaan pekerjaan, pembukaan kedai serta memacu pertumbuhan negara, menurut data terbaharu daripada peneraju industri hartanah IQI. 

 

Pengasas Bersama IQI dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kashif Ansari berkata, syarikat dari China telah membuat pelaburan bersamaan 7% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan Malaysia atau bersamaan RM126.4 bilion. 

 

Beliau berkata, pada penghujung 2023, pelaburan China mencecah paras tertinggi selepas COVID-19 di Malaysia dan momentum itu berterusan sehingga awal 2024.

 

“Pelaburan ini telah berubah dalam dua cara, pertama China beralih daripada ekonomi G7 dan kembali ke Asia, terutamanya Asia Tenggara. Malaysia dan negara jirannya adalah antara penerima manfaat terbesar

 

"Kedua, pelaburan hari ini adalah lebih strategik dan jangka panjang. Pada masa lalu, syarikat China memberi tumpuan kepada pengambilalihan yang besar tetapi kini, keutamaan telah beralih kepada pelaburan lapangan hijau di mana syarikat-syarikat ini membina kapasiti baharu untuk jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

 

iqi
Kashif Ansari

 

 

Pada tahun lalu, beliau berkata, syarikat China melaburkan lebih $1 bilion setiap satu ke Malaysia, Vietnam, Indonesia dan Singapura. Wang itu masuk ke sektor seperti automotif, hartanah, semikonduktor dan bahan mentah.

 

"Ini bermakna syarikat sedang membina kemudahan baharu dan mengembangkan kehadiran mereka di lapangan. Malah, hampir 99.5% daripada pelaburan China pada 2024 setakat ini adalah dalam projek baharu, bukan hanya pengambilalihan. 

 

"Itulah perubahan besar daripada sebelum wabak, apabila hanya 75% daripada pelaburan China adalah dalam projek baharu," katanya.

 

Kashif berkata, antara sektor yang paling banyak menerima faedah ialah pembuatan, terutama pembuatan semikonduktor.

 

Katanya, Malaysia merupakan pemain semikonduktor global dan syarikat dari China menerima manfaat daripadanya dan pada masa sama, negara juga membekalkan lebih banyaj semikonduktor kepada Amerika Syarikat (AS) berbanding negara lain.

 

"Sejumlah besar pekerjaan baharu dicipta alam industry semikonduktor meliputi bidang kemahiran inggi seperti kejuruteraan dan pengurusan rantaian bekalan.

 

"Ia mewujudkan lebih banyak kerja dan pekerjaan lebih baik, dengan gaji yang lebih tinggi serta lebih banyak peluang untuk rakyat Malaysia.

 

"Kira-kira setengah juta orang sudah bekerja dalam industri elektronik. Industri semikonduktor akan memacu pertumbuhan paling banyak dalam pekerjaan elektronik sepanjang dekad yang akan datang," katanya.

 

Kashif berkata, dengan hartanah komersial, pihaknya menjangkakan dinamik yang sama seperti syarikat China, pejabat yang ditubuhkan dan pusat R&D.

 

Beliau berkata, permintaan untuk ruang pejabat, terutamanya di Kuala Lumpur, Cyberjaya, Johor, dan Pulau Pinang akan meningkat. 

 

"Ini akan meningkatkan hasil bagi pemilik hartanah dan membawa kepada pembangunan baharu hartanah komersial. Taman teknologi dan hab inovasi mungkin menjadi sangat menarik.

 

"Memandangkan syarikat China mengupah bakat tempatan dan memindahkan pekerja dari luar negara, permintaan untuk perumahan berhampiran pusat perindustrian dan komersial akan meningkat.

 

"Rakyat Malaysia yang bekerja dalam pekerjaan berkemahiran tinggi dalam semikonduktor, kejuruteraan dan teknologi akan mencari perumahan yang lebih mewah," katanya. - DagangNews.com