Perkembangan margin faedah bersih, pinjaman dijangka jadi pemacu keuntungan AmBank pada suku akan datang - HLIB | DagangNews Skip to main content

Perkembangan margin faedah bersih, pinjaman dijangka jadi pemacu keuntungan AmBank pada suku akan datang - HLIB

Gambar: Naim Aziz/DagangNews
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Okt - AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) dijangka mengekalkan keuntungan berdaya tahan pada suku tahun akan datang disokong pengembangan margin faedah bersih (NIM), pertumbuhan pinjaman lebih baik serta pendapatan bukan faedah (NOII) lebih stabil.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, bank itu meramalkan pengembangan NIM penuh tahun kewangan 2025 (FY25) sebanyak 11 mata asas (bps) berbanding ramalan mereka sebanyak lima mata asas.

 

Katanya, NIM kumpulan perbankan itu berkembang 10 mata asas secara berurutan pada 1QFY25 disokong kos dana yang lebih rendah.

 

Firma penyelidikan itu berkata, aliran ini dijangka berterusan menuju ke suku kedua, walaupun dengan peningkatan yang lebih kecil, kerana bank itu mengoptimumkan kos pembiayaan dan mengamalkan strategi penetapan harga.

 

"Tambahan pula, pihak pengurusan telah menumpukan pada mengembangkan segmen margin yang lebih tinggi seperti perbankan perniagaan dan menjadi selektif dalam gadai janji,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

HLIB berkata, pertumbuhan pinjaman kumpulan perbankan itu akan meraih momentum pada 2QFY25 berbanding 1QFY25 peningkatan 2.9% tahun ke tahun.

 

“Secara berasingan, bank itu juga boleh mengalami prestasi NOII berturut-turut yang berdaya tahan mungkin datang daripada keuntungan perbendaharaan yang lebih besar disebabkan oleh pasaran pendapatan tetap yang teguh," katanya.

 

Katanya, kelemahan kualiti aset yang ketara memerlukan peruntukan yang besar adalah tidak mungkin, memandangkan prospek ekonomi tempatan yang cerah.

 

Firma penyelidikan tu berkata, bank itu telah membuat peruntukan yang mencukupi, menyerlahkan perlindungan kerugian pinjaman (LLC) yang tinggi untuk segmen perbankan runcit, perniagaan dan borong kumpulan masing-masing pada 90%, 87% dan 289%.

 

"Selain itu, pinjaman dalam pemerhatian menyusut pada 1QFY25 dan tahap elaun yang dibuat adalah pada paras 22%, sama seperti pinjaman Peringkat 3 sebanyak 29% (berbanding Peringkat 1 dan 2 daripada 1%).

 

"Lebih-lebih lagi, LLC kumpulan keseluruhan sebanyak 89% adalah tinggi berbanding tahap pra-pandemik sebanyak 65%," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.15 sesaham. - DagangNews.com