Persatuan PKS gesa kerajaan tangani kebimbangan berikutan cadangan gaji minimum | DagangNews Skip to main content

Persatuan PKS gesa kerajaan tangani kebimbangan berikutan cadangan gaji minimum

Oleh Shamsiah Zulkafli

PETALING JAYA 23 Okt - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia meminta kerajaan mengambil tindakan segera untuk menangani kebimbangan yang timbul daripada cadangan kenaikan gaji minimum dan sumbangan wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing. 

 

Presidennya, Chin Chee Seong berkata, cadangan tersebut berisiko dan memberi kesan jangka panjang yang merosakkan sektor PKS jika dilaksanakan tanpa sokongan dan fleksibiliti tambahan.

 

Beliau menegaskan bahawa PKS, yang merangkumi lebih 97% lanskap perniagaan di Malaysia, beroperasi dalam margin yang sangat ketat.

 

Antara kebimbangan utama termasuk peningkatan kos operasi, kesan negatif terhadap penggajian dan amalan pengambilan pekerja, serta kemampuan terhad untuk memindahkan kos kepada pengguna.

 

“Banyak PKS masih berdepan dengan kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19. 

 

pks
Chin Chee Seong

 

“Pemulihan amat perlahan dan ketika momentum perniagaan baru bermula, isu kenaikan gaji minimum dan sumbangan KWSP mengancam usaha mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Chee Seong menyifatkan, walaupun kenaikan gaji akan memberi manfaat kepada pekerja, ia mungkin merugikan pasaran pekerjaan dalam jangka panjang kerana perniagaan perlu mengatasi gaji yang lebih tinggi dan sumbangan KWSP yang wajib.

 

Beliau menambah, menaikkan harga untuk menampung perbelanjaan baharu boleh mengakibatkan pendapatan yang lebih rendah dan margin keuntungan yang semakin mengecil.

 

Selain itu, persatuan berpendapat, perkembangan tersebut mungkin akan membantutkan inovasi dan pengembangan perniagaan, menyebabkan kesan yang tidak seimbang terhadap pelbagai sektor PKS dan sokongan kewangan yang tidak mencukupi.

 

“Banyak perniagaan sudah menangguhkan rancangan pengembangan akibat kekangan aliran tunai. 

 

“Cadangan baharu ini akan melambatkan inisiatif pertumbuhan yang kritikal untuk mencapai kelestarian jangka panjang dan kekal kompetitif di peringkat global,” jelasnya.

 

Memandangkan kebimbangan utama berkenaan, persatuan berkata kerajaan harus mengambil pendekatan yang seimbang dan berfikir mendalam untuk menangani isu tersebut.- DagangNews.com