PIDM anugerah biasiswa kepada 20 mahasiswa cemerlang Malaysia | DagangNews Skip to main content

PIDM anugerah biasiswa kepada 20 mahasiswa cemerlang Malaysia

Pengerusi PIDM, Datuk Seri Dr Zukri Samat (keenam dari kanan, baris pertama) dan Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah (ketujuh dari kanan, baris pertama) bersama penerima Program Biasiswa PIDM 2024.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Sept - Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) telah menganugerahkan biasiswa kepada 20 mahasiswa Malaysia melalui Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM yang memberi bantuan kewangan bagi melanjutkan pelajaran di universiti tempatan.

 

Dimulakan pada 2010, program biasiswa tersebut telah menaja seramai 248 pelajar yang mengikuti pelbagai bidang pengajian.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah menekankan kepentingan pendidikan kepada bakat-bakat muda demi menjamin masa depan yang lebih baik dan seterusnya meningkatkan serta memperbaiki kehidupan masyarakat dan diri masing-masing. 

 

"Pelajar yang terpilih berhak mendapat peluang melanjutkan pengajian dan mencapai impian masing-masing tanpa kekangan kewangan yang menjadi halangan kepada cita-cita mereka.

 

"Pemegang biasiswa akan berpeluang memaksimumkan potensi mereka untuk menjadi individu kompeten, bertanggungjawab dan inovatif yang mampu merebut peluang dan menghadapi cabaran mendatang di masa depan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Agensi kerajaan itu berkata, program biasiswa itu juga menyediakan bantuan kewangan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian tinggi.

 

"Bantuan menyeluruh ini merangkumi yuran pengajian, perbelanjaan sara hidup dan alat bantuan pembelajaran. 

 

"Selain daripada bantuan kewangan, PIDM memberi peluang kepada penerima biasiswa untuk menjalani latihan praktikal di PIDM dan dibimbing oleh mentor PIDM untuk melengkapkan proses pembelajaran akademik mereka," katanya. 

 

Seorang penerima biasiswa, Sufi Nabihah Najihah Sulaiman menzahirkan kesyukurannya menerima bantuan kewangan tersebut. 

 

Sufi Nabihah yang merupakan penerima Anugerah Naib Canselor dalam bidang Sains Aktuari di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban itu menerima biasiswa tersebut susulan pencapaian akademiknya yang sangat cemerlang.

 

Dengan bapanya bekerja sebagai pemandu van kilang dan ibunya seorang suri rumah, beliau berazam untuk bekerja keras demi menjamin masa depan yang lebih baik buat keluarganya.

 

"Ibu bapa saya turut berasa lega kerana biasiswa ini akan membantu saya dari segi kewangan, sekali gus membolehkan saya memberi tumpuan penuh kepada pelajaran dan kerjaya saya di masa depan," katanya.- DagangNews.com