Program GEAR-uP MOF tidak akan halang KWAP capai sasaran pelaburannya | DagangNews Skip to main content

Program GEAR-uP MOF tidak akan halang KWAP capai sasaran pelaburannya

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Sept - Pelaburan yang diperuntukkan oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) bagi program GEAR-uP diterajui oleh Kementerian Kewangan (MOF) tidak akan menjejaskan sasaran pelaburan dana persaraan, kata Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed.

 

Beliau berkata, semua cadangan pelaburan KWAP masih diperlukan untuk memenuhi jangkaan pulangan minimum dan dalam parameter risiko yang telah ditetapkan oleh lembaga dana.

 

Menurut beliau, KWAP melabur RM40 bilion dalam pasaran swasta domestik, daripada RM120 bilion pelaburan domestik langsung yang dijanjikan oleh enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) utama dalam tempoh lima tahun akan datang. 

 

“Kami masih mencapai sasaran jangkaan pulangan yang kukuh setiap kali kami melabur.

 

“Sebagai contoh, sasaran pulangan pelaburan ekuiti persendirian ialah 15%. Kami ada  sasaran khusus, di mana kami menyasar untuk mencapai pasaran modal 7% dalam jangka panjang.

 

"Kami tetap komited untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dalam Kumpulan,” katanya semasa sesi panel pada persidangan Invest Malaysia 2024 pada Khamis.

 

Selain KWAP, terdapat lima lagi GLIC yang terlibat dalam program itu termasuk Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). 

 

Program GEAR-uP yang diketuai oleh MOF menyasar untuk mensinergikan usaha merentas entiti bagi memacu pertumbuhan dalam sektor ekonomi utama.

 

Di bawah program itu, KWAP berperanan untuk mengukuhkan pasaran swasta di Malaysia merentasi ekuiti swasta, infrastruktur dan hartanah dengan menyediakan pembiayaan modal teroka serta firma peringkat pertumbuhan melalui dana perintis dan dana pemacu.

 

KWAP juga telah mengenal pasti lapan sektor pelaburan sasaran, termasuk keselamatan makanan dan ekonomi digital.

 

Nik Amlizan turut berkata, KWAP akan memastikan untuk mengambil langkah strategik yang benar-benar memanfaatkan usahawan.

 

"Kami sebenarnya telah menyediakan ekosistem yang diperlukan untuk memastikan semua aspek rantaian nilai pelaburan ditangani dengan cekap,” katanya. 

 

Sementara itu, KWAP akan mengumumkan dana baharu untuk terus menyokong program GEAR-uP dalam beberapa hari akan datang.- DagangNews.com