Projek loji kuasa gas asli 5,300 MW Mitsubishi Power mula operasi di Thailand  | DagangNews Skip to main content

Projek loji kuasa gas asli 5,300 MW Mitsubishi Power mula operasi di Thailand 

Loji kitaran gabungan turbin gas (GTCC) di Rayong, Thailand
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Okt - Mitsubishi Power, jenama rumusan kuasa milik Mitsubishi Heavy Industries Ltd. (MHI) telah menyiapkan pembinaan unit kelapan dan terakhir turbin gas M701JAC bagi melengkapkan projek loji kuasa gas asli 5,300 megawatt (MW) di Thailand.

 

Projek kerjasama syarikat itu dan Gulf Energy Development Public Company Limited itu merupakan antara loji pengeluar tenaga bebas (IPP) terbesar di Thailand dan operasinya akan dikendalikan oleh Mitsui & Co. Ltd, syarikat perdagangan Jepun pada 1 Oktober 2024.

 

Mitsubishi Power berkata, pencapaian itu menandakan tempahan kapasiti Mitsubishi Power terbesar, menyumbang kepada keselamatan tenaga dan penyahkarbonan di Thailand.

 

“Projek ini menampilkan dua loji kitaran gabungan turbin gas (GTCC) di Wilayah Chonburi dan Rayong, hab utama untuk pembuatan dan perkhidmatan teknologi, dengan jumlah kapasiti terpasang sebanyak 5,300 MW.

 

“Setiap loji dilengkapi dengan empat turbin gas M701JAC, turbin stim dan penjana stim pemulihan haba, yang akan memastikan bekalan tenaga yang mampan keselamatan tenaga dan pertumbuhan ekonomi Thailand. 

 

“Pada 1 Oktober, tujuh unit pertama yang dipasang di Chonburi dan Rayong telah mencatatkan 100,000 waktu operasi sebenar (AOH) secara kolektif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Naib Presiden Eksekutif Mitsubishi Power Ltd, Takao Tsukui berkata, syarikat itu telah berjaya mengharungi keadaan yang mencabar, termasuk COVID-19 semasa menyiapkan projek itu.

 

"Hari ini, semua unit beroperasi sepenuhnya mengikut jadual, ini bukti kerjasama yang tidak berbelah bagi semua yang terlibat, dan satu kejayaan yang amat kami banggakan.

 

"Sebagai projek turbin gas JAC pertama kami di Asia Tenggara, kilang GTCC di Wilayah Chonburi dan Rayong menetapkan peringkat untuk mengontrak lebih 90 turbin gas JAC di seluruh dunia," katanya. - DagangNews.com