Prospek Ancom Nylex kekal positif berikutan Helm AG sebagai pemegang saham utama, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Prospek Ancom Nylex kekal positif berikutan Helm AG sebagai pemegang saham utama, kata Kenanga Research

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov - Prospek pengeluar bahan kimia pertanian, Ancom Nylex Bhd kekal positif dan berpotensi untuk dinilai semula berikutan kemunculan firma kimia berpangkalan di Jerman, Helm AG sebagai pemegang saham utama dalam syarikat itu pada September 2024.

 

Kenanga Research berkata, pelaburan Helm bukan sahaja membuktikan keyakinannya dalam Ancom Nylex, tetapi perkongsian itu bakal memberi kesan strategik positif jangka panjang.

 

Firma penyelidikan itu juga berkata, pelantikan dua Pengarah oleh Helm menunjukkan komitmen yang kuat ke arah usaha yang lebih strategik.

 

"Perkongsian itu akan meraih faedah positif untuk pendapatan syarikat selepas tahun kewangan berakhir 31 Mei 2025 (FY25), memandangkan akses Helm kepada pasaran di Amerika Utara dan Eropah, serta kepakaran dan produk baharu," katanya dalam satu notapenyelidikan.

 

Kenanga mengekalkan saranan 'outperform' ke atas Ancom Nylex serta menurunkan harga sasaran (TP) Ancom Nylex kepada RM1.40 daripada RM1.50. 

 

Katanya, penurunan TP itu berdasarkan keuntungan bersih 24% kumpulan yang lebih rendah pada FY25 akibat caj pengangkutan yang lebih tinggi.

 

"Kami juga mengambil kira kemungkinan pelancaran bahan kimia pertanian yang lebih cepat kepada petani kacang soya Brazil yang akan membantu mengurangkan caj pengangkutan tetapi masih lebih tinggi daripada biasa.

 

"Perkongsian ini akan menambahbaikkan operasi antara Ancom Nylex dan Helm, memandangkan lebih daripada 95% keuntungan Ancom Nylex berasal daripada pembuatan bahan aktif kimia pertanian, manakala Helm akan membantu dalam pemasaran dan pengedaran bahan kimia industry," katanya. - DagangNews.com