KUALA LUMPUR 30 Sept - Kerjasama pembekal makanan laut beku, PT Resources Holdings Bhd dengan China's Ocean Exchange (Fujian) Foreign Trade Services Co Ltd (Ocean Exchange) bagi membangunkan Taman Pintar Rantaian Bekalan Antarabangsa Pantai Timur Malaysia di Kuantan, Pahang telah dibatalkan.
Projek itu yang menyasar untuk memudahkan perdagangan dua hala antara Malaysia dan China melalui Fuzhou, China, dianggarkan bernilai kira-kira RM1 bilion.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, PT Resources berkata Kumpulan itu dan Ocean Exchange bersetuju untuk menamatkan rancangan itu.
Pada Februari 2023, kedua-dua syarikat itu telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi membangunkan taman itu yang merangkumi kemudahan rantaian sejuk bersepadu dan platform kewangan digital.
Katanya, platform digital itu akan menggunakan rangkaian UnionPay bagi menyelaraskan dan memudahkan pembayaran rentas sempadan yang mudah antara Taman Pintar Rantaian Bekalan Antarabangsa dan Taman Fuzhou.
PT Resources berkata, penamatan bersama itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material terhadap pendapatan, aset bersih, penggearan, modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang besar bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2025.
Secara berasingan, PT Resources mengumumkan keuntungan bersihnya bagi suku pertama berakhir 30 April 2024 (1QFY2025) meningkat 5.75% kepada RM4.96 juta daripada RM4.69 juta pada 1QFY2024 berikutan peningkatan 25.46% dalam hasil kepada RM165.16 juta daripada RM131.64 juta setahun sebelumnya.
Pembekal makanan laut beku berkata, peningkatan untung bersih itu didorong oleh peningkatan permintaan daripada pasaran domestik dan luar negara, terutamanya daripada pelanggan China.
Ia mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 0.99 sen yang perlu dibayar pada 16 Oktober 2024.
Memandang ke hadapan, Kumpulan itu optimis terhadap pertumbuhan jangka panjang permintaan produknya.
Ia juga komited untuk menilai peluang perniagaan dan/atau aset baharu yang akan diperoleh yang boleh menyumbang dan meningkatkan prestasi kewangannya.- DagangNews.com