PublicInvest kekal saranan 'outperform' terhadap Gamuda dengan TP RM9.20 sesaham   | DagangNews Skip to main content

PublicInvest kekal saranan 'outperform' terhadap Gamuda dengan TP RM9.20 sesaham  

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Okt -  Public Investment Bank (PublicInvest) mengekalkan saranan 'outperform' terhadap Gamuda Bhd dengan harga sasaran (TP) RM9.20 sesaham. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, unjuran itu susulan penerimaan kontrak bernilai RM4.3 bilion daripada Jabatan Sistem Transit Rapid, Kerajaan New Taipei City untuk membina bangunan bagi Transit Aliran Massa Xizhi Donghu (MRT) di Taiwan.

 

"Kontrak baharu tersebut akan mendorong buku pesanan tertunggak kumpulan kini dianggarkan berjumlah RM28.7 bilion.

 

"Walaupun kami positif terhadap kemenangan kontrak itu, kami mengekalkan saranan Gamuda kerana kami mengunjur buku pesanan kumpulan akan mencecah RM16 bilion pada FY25," katanya dalam satu nota penyelidikan. 

 

Kontrak tersebut melibatkan Gamuda memegang ekuiti sebanyak 75% dan dua syarikat yang berpusat di Taiwan, MiTAC Information Technology Corp (15%) serta Dong Pi Co Limited (10%).

 

Berdasarkan pegangan Gamuda dalam kontrak itu, syarikat tersebut memiliki bahagian kontrak bernilai RM3.2 bilion. 

 

ARTIKEL BERKAITAN : Gamuda dan rakan kerjasama peroleh kontrak reka bentuk, pembinaan MRT bernilai RM4.3 bilion di Taiwan

 

Kontrak tujuh tahun itu akan bermula pada 2QFY25 dan dijangka siap pada 1QFY32.

 

Berikutan kontrak itu, PublicInvest berkata, buku pesanan Gamuda yang belum dibil telah meningkat sebanyak 12.5% ​​kepada kira-kira RM28.7 juta.

 

"Dengan mengambil kira andaian margin keuntungan sebelum cukai sebanyak 8% dan kadar cukai korporat sebanyak 20% di Taiwan, projek ini dijangka menyumbang kira-kira 2.1% kepada keuntungan bersih setiap tahun.

 

"Ini berdasarkan tahap penyiapan kerja tertentu setiap tahun sepanjang tempoh projek.

 

"Walau bagaimanapun, kami tidak membuat pelarasan pada unjuran pendapatan Gamuda kerana ini telah diambil kira andaian penambahan buku pesanan RM16 juta pada FY25," katanya. - DagangNews.com