KUALA LUMPUR 17 Jan - Sekatan pengeluaran cip kecerdasan buatan (AI) yang dikenakan oleh Amerika Syarikat baru-baru ini dijangka memberi kesan minimum kepada pertumbuhan pusat data yang dirancang di Malaysia, kata CGS International.
Firma penyelidikan itu juga meramalkan kenaikan permintaan tenaga di Malaysia mampu menangani kesan tarif tersebut terhadap sektor utiliti.
"Kira-kira 60% hingga 70% daripada perjanjian bekalan elektrik bernilai 4.7 gigawatt yang ditandatangani dengan pengendali pusat data berkemungkinan bergantung kepada pilihan pengguna.
"Oleh itu, kami mengekalkan saranan "overweight" ke atas sektor utiliti," kata CGS International dalam satu nota kajian.
Pada hari Rabu, AS meletakkan 25 firma China dan dua syarikat yang berpangkalan di Singapura dalam senarai perdagangan terhad, termasuk Sophgo Technologies Ltd, yang didakwa oleh pentadbiran Biden meneruskan pengeluaran cip lanjutan.
Sekatan itu mengikuti kawalan yang diumumkan dua hari lebih awal mengenai cip pengkomputeran lanjutan yang penting untuk pusat data dan penyebaran teknologi kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, CGS International berkata, risiko sekatan baharu AS terhadap perniagaan pusat data syarikat telekomunikasi berkemungkinan memberi kesan kecil, kerana kebanyakannya tidak memerlukan pemproses cip.
"Pilihan utama kami termasuk Tenaga Nasional Bhd dan Malakoff Corporation Bhd kerana mereka merupakan penerima tidak langsung daripada lonjakan pelaburan langsung asing dalam pusat data di Malaysia.
"10 megawatt daripada kapasiti 75 megawatt Telekom Malaysia Bhd menjelang akhir 2026 kini dijadualkan untuk menangani beban kerja AI.
"Risiko kepada perkhidmatan penyambungan juga akan menjadi rendah, kerana hasil daripada perkhidmatan itu tidak ketara setakat ini,” katanya.
CGS International memberi saranan 'tambah' ke atas Telekom Malaysia serta pengendali rangkaian mudah alih Maxis Bhd, Axiata Group Bhd dan CelcomDigi Bhd. - DagangNews.com