KUALA LUMPUR 24 Okt - RHB Investment memberi harga wajar RM2.08 terhadap Well Chip Group Bhd berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 20x pendapatan sesahamnya bagi tahun kewangan 2025 (FY25).
Selepas penyenarainnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia, firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan Well Chip Group dijangka baik.
Katanya, pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan modal tunai dan pengembangan kedai yang agresif disokong oleh harga emas yang tinggi.
"Well Chip telah menjana RM124 juta daripada hasil IPO untuk digunakan sebagai modal tunai bagi perniagaan pajak gadainya yang kemudiannya boleh dikeluarkan sebagai pinjaman gadai.
"Oleh kerana sifat pinjaman pajak gadai yang berisiko lebih tinggi, segmen tersebut memperoleh margin kasar melebihi 80%.
"Kumpulan itu pada masa ini menjana pendapatan RM9 juta hingga RM10 juta iaitu lebih tinggi berbanding perniagaan setarafnya," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Katanya, peningkatan hasil itu didorong oleh lokasi Well Chip di Johor di mana ia menguasai bahagian pasaran pajak gadai tertinggi sebanyak 36%.
"Kami menjangka Well Chip akan mencapai CAGR untung bersih bagi FY23 hingga FY26 sebanyak 21%, didorong oleh pertumbuhan yang stabil dalam kedua-dua segmen pajak gadai dan perdagangan runcit, " katanya.- DagangNews.com