SD Guthrie catat pendapatan RM1.8 bilion, naik 27% dibantu oleh kecekapan operasi huluan | DagangNews Skip to main content

SD Guthrie catat pendapatan RM1.8 bilion, naik 27% dibantu oleh kecekapan operasi huluan

SD Guthrie Bhd yang dahulunya dikenali sebagai Sime Darby Plantation Bhd
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov - SD Guthrie Berhad catat pendapatan berulang sebanyak RM1.8 bilion bagi sembilan bulan berakhir pada 30 September 2024 (9MFY24), mewakili peningkatan 27% tahun-ke-tahun (YoY) berbanding tempoh yang sama pada 2023. 

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar minyak sawit mampan diperakui (CSPO) itu berkata, pendapatan tempoh tersebut didorong oleh penambahbaikan kewangan dan kecekapan operasi huluan minyak sawit.

 

"Sektor huluan minyak sawit menyaksikan peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah(MSM) sebanyak 23% YoY, mengimbangi pengeluaran yang lebih rendah dari Indonesia. 

 

“Harga MSM dan isirung sawit (PK) yang kukuh turut menyumbang kepada prestasi ini, dengan purata harga MSM dan PK masing-masing meningkat sebanyak 4% dan 25% YoY, kepada RM3,957 setiap tan metrik (MT) dan RM2 ,194 setiap MT," katanya.

 

Bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (3QFY24), SD Guthrie mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM766 juta, jatuh 37% daripada suku yang sama pada tahun lepas (3QFY23).

 

Katanya, susutan tersebut akibat pelupusan 384 hektar tanah yang terletak di Mukim Kapar yang menjana hasil jualan sebanyak RM600 juta pada 3QFY23.

 

Untung bersih kumpulan pada 9M FY24 mencecah sebanyak RM1.39 bilion, penurunan penurunan 16% YoY 9MFY23.

 

Mengulas tentang prestasi kewangan kumpulan, Pengerusi SD Guthrie, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata, kumpulan akan membangunkan taman perindustrian dan tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Di samping itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha menyokong kenyataan tersebut dengan menjelaskan kerjasama kumpulan dengan AME Elite untuk membina taman perindustrian hijau serta taman solar di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) mencerminkan kemajuan SD Guthrie ke arah berkembang menjadi taman perindustrian dan RE.

 

SD Guthrie menjangkakan peningkatan harga MSM akan kekal stabil didorong oleh bekalan yang lebih ketat akibat keadaan cuaca buruk berpanjangan di Indonesia yang bakal memberi kesan kepada pengeluaran MSM dan perubahan terbaharu dalam mandat biodiesel B40nya.

 

"Sebarang kenaikan harga MSM mungkin dihadkan oleh prospek bekalan dan premium dagangan minyak sayuran pengganti.

 

"Bagi baki tempoh FY24, kami menjangkakan hasil positif dibantu oleh harga MSM dan PK yang kukuh serta prestasi operasi hiliran Eropahnya yang berterusan," katanya.- DagangNews.com