KUALA LUMPUR 16 Dis - Sektor pengguna diramal berkembang pada 2025, disokong kebangkitan semula segmen pelancongan, pekerjaan yang stabil dan peningkatan pendapatan boleh guna.
MIDF Research berkata, pemulihan beransur-ansur dalam segmen pelancongan akan meningkatkan lagi permintaan runcit, memanfaatkan barangan keperluan pengguna dan peruncit barangan am.
Pada suku ketiga 2024, jualan runcit memperoleh momentum, berkembang sebanyak 3.8% tahun ke tahun, diterajui subsektor pasar mini dan kedai serbaneka, serta pertumbuhan yang stabil dalam gedung serbaneka, farmasi dan pakaian.
“Sektor pelancongan Malaysia terus menjadi pemangkin kritikal bagi pasaran pengguna, dengan ketibaan pelancong antarabangsa melonjak kepada 20.6 juta dalam tempoh 10 bulan 2024 berbanding 16.1 juta dalam tempoh yang sama pada 2023.
“Ini adalah esuatu yang penting kerana jumlah bagi tempoh itu melepasi jumlah ketibaan pelancong untuk 2023 (20.1 juta),” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, 2025 menjanjikan momentum yang lebih besar, didorong inisiatif strategik kerajaan seperti promosi global, penambahbaikan infrastruktur, kebolehcapaian yang dipertingkatkan melalui kesalinghubungan yang lebih baik, dan sasaran 31.4 juta pelawat dengan RM125.5 bilion hasil pelancongan.
Katanya, persiapan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 akan memperkasakan lagi potensi jangka panjang sektor itu, dengan matlamat untuk menarik kedatangan 35.6 juta pelancong dan pendapatan RM147.1 bilion.
“Syarikat seperti Spritzer Bhd berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peningkatan permintaan untuk air botol, manakala Family Mart, di bawah QL Resources Bhd, berpeluang mendapat keuntungan daripada peningkatan permintaan untuk makanan segera didorong peningkatan jumlah pelancong.
“Memandangkan Malaysia terus menarik pelancong, aktiviti pengguna yang dikaitkan dengan perjalanan dan hospitaliti akan terus menyediakan asas kukuh untuk pertumbuhan seluruh sektor,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, bahawa Aeon Co (M) Bhd dalam kedudukan baik untuk menangkap pertumbuhan ini, memanfaatkan permintaan domestik yang berdaya tahan untuk memacu pengembangan barisan teratas yang kukuh pada 2025.
MIDF Research mengekalkan pandangan "positif" pada sektor pengguna, dengan pilihan utama termasuk Fraser & Neave Holdings Bhd, dengan harga sasaran (TP) RM36.77 sesaham.- DagangNews.com