KUALA LUMPUR 9 Okt - CIMB Securities Sdn Bhd percaya kenaikan nilai ambang levi keuntungan luar biasa (WPL) kepada sekitar RM4,500 bagi setiap tan akan memanfaatkan sektor perladangan menjelang Bajet 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober 2024.
Firma penyelidikan itu berkata, kadar WPL semasa 3% terpakai kepada harga minyak sawit melebihi RM3,000 bagi satu tan di Semenanjung Malaysia dan RM3,500 setiap tan di Sabah dan Sarawak.
“Kami menganggarkan dengan menaikkan ambang WPL kepada RM4,500 setiap tan akan memberi kesan kepada pendapatan syarikat perladangan di bawah liputan kami sebanyak 2% sehingga 5%.
"Langkah ini juga akan meningkatkan pendapatan syarikat perladangan Malaysia semasa tempoh kenaikan harga minyak sawit mentah(MSM).
"Kami juga percaya peningkatan nilai ambang itu memberi manfaat terutamanya kepada pengendali huluan tulen dengan asas pendapatan lebih rendah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Selain itu, CIMB Securities mencadangkan kerajaan merasionalkan subsidi minyak masak yang boleh membantu mengimbangi kejatuhan yang lebih rendah.
“Peningkatan keuntungan jangka panjang bagi sektor perladagan akan menggalakkan usaha penanaman semula sekali gus meningkatkan hasil buah tandan segar (BTS) dan hasil cukai masa depan untuk kerajaan,” katanya.
Firma penyelidikan itu meramalkan jangkaan pasaran pemansuhan atau pelarasan WPL adalah rendah, kerana sektor itu tidak dinilai semula untuk belanjawan yang akan datang.
Sementara itu, CIMB Securities mengekalkan unjuran purata harga MSM bagi FY24 pada RM3,900 setan serta dijangka penurunan harga ketika musim puncak pengeluaran pada suku keempat tahun ini.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor itu.- DagangNews.com