KUALA LUMPUR 11 Okt - Signature International Bhd bersama anak syarikatnya yang terlibat dalam pemasangan dalaman dan pengubahsuaian memfailkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE.
Menurut draf prospektus, ia melibatkan penerbitan sebanyak 260 juta saham baharu, di mana harga saham tersebut akan ditentukan kelak.
Katanya, tidak ada penjualan saham sedia ada dalam IPO itu, yang secara keseluruhannya menawarkan pelabur sebanyak 26% kepentingan dalam Signature Alliance.
"Kami berhasrat untuk memusatkan pejabat korporat dan operasi pengeluaran kami melalui penyediaan pejabat korporat dan kemudahan pengeluaran baharu di Selangor.
"Selain itu, kami berhasrat untuk memperoleh mesin dan peralatan tambahan bagi kemudahan pengeluaran baharu yang dicadangkan ini," katanya.
Signature Alliance menempatkan dua anak syarikat utama iaitu Space Alliance Contracts Sdn Bhd dan Zig Zag Builders (M) Sdn Bhd, yang dahulunya diletakkan di bawah Signature International, syarikat terkenal dengan kabinet dapurnya.
Chin Hin Group Bhd yang mengawal syarikat itu memiliki 71.72% kepentingan dalam Signature International.
Pelan penyenaraian pertama kali kmpulan itu diumumkan oleh Pengarah Urusan Chin Hin, Chiau Haw Choon pada 2023.
Pada tahun lepas, Signature Alliance mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM10.42 juta daripada hasil berjumlah RM173.38 juta.
Kini, syarikat itu sedang menjalankan 57 projek dengan nilai kontrak keseluruhan berjumlah RM663.4 juta.
Terbitan awam itu akan memperuntukkan 50 juta saham baharu kepada orang awam Malaysia dan 30 juta saham kepada pihak yang layak manakal, sebanyak 20 juta saham baharu turut diperuntukkan kepada pemegang saham Signature International yang berhak.
Selain itu, IPO tersebut akan melibatkan penempatan persendirian sebanyak 125 juta saham baharu kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan, serta 35 juta saham untuk pelabur terpilih.
Hasil daripada IPO itu juga akan digunakan untuk memperluaskan pejabat sedia ada di Pulau Pinang dan membuka cawangan baharu di Johor.
Baki dana itu akan digunakan sebagai modal kerja, pembayaran balik pinjaman bank, serta menampung perbelanjaan penyenaraian.
Selepas penyenaraian, kepentingan Chin Hin dalam Signature International akan berkurangan daripada 50.7% kepada 37.5%, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Signature Alliance, Chang Chung Fei, akan memegang 16.4% kepentingan, diikuti oleh Pengarah Eksekutif Foo Khai Shin dengan 13.1%.
M&A Securities ialah penasihat, penaja, penaja jamin, dan ejen penempatan bagi IPO ini - DagangNews.com