Solar District Cooling Group, Sunrise Shares Energy bekerjasama galak rumusan RE rentasi pebagai sektor di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Solar District Cooling Group, Sunrise Shares Energy bekerjasama galak rumusan RE rentasi pebagai sektor di Malaysia

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Sept - Solar District Cooling Group Berhad (SDCG) memeterai perjanjian kerjasama dengan Sunrise Shares Energy Sdn Bhd (SSE), syarikat rumusan tenaga boleh diperbaharui (RE) bagi menggalakkan penggunaan rumusan RE dan menawarkan khidmat nasihat kemampanan merentasi pelbagai sektor di Malaysia.

 

SDCG berkata, kedua-dua syarikat itu akan menyediakan pelanggan dengan rumusan lengkap bagi meningkatkan kecekapan tenaga, mengurangkan kos operasi dan mencapai matlamat kemampanan.

 

"Perkongsian ini akan memanfaatkan kepakaran SDCG dalam sistem pengurusan bangunan (BMS), sistem terma suria dan perkhidmatan kecekapan tenaga. 

 

"SSE pula akan mempromosikan portfolio panel suria komersial, lampu jalan berkuasa solar dan sistem storan tenaga bateri," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Selain itu, SDCG dan SSE juga akan menawarkan khidmat nasihat kemampanan bersama, membantu pelanggan mendapatkan pensijilan bangunan hijau dan pensijilan rendah karbon, serta menggalakkan pembangunan mampan. 

 

Pengarah Urusan SDCG, Edison Kong berkata, kerjasama itu akan memberi sumbangan kepada peralihan negara ke arah ekonomi yang lebih hijau.

 

"Perkongsian ini membolehkan syarikat menggabungkan kekuatan dan menawarkan rumusan tenaga yang boleh membantu pelanggan mencapai matlamat kemampanan mereka," katanya. 

 

Sementara itu, Pengarah SSE, Matt Tan berkata, kerjasama itu akan meluaskan jangkauan syarikat dan keupayaannya dalam pasaran RE. 

 

"Dengan bekerjasama dengan SDCG, kami boleh menyampaikan rangkaian rumusan tenaga yang lebih luas kepada pelanggan kami, memastikan mereka mendapat manfaat daripada kedua-dua produk RE termaju dan sistem cekap tenaga,” katanya. - DagangNews.com