Sunway Property, MBIP bekerjsama pacu inisiatif rendah karbon di perbandaran Sunway Iskandar Puteri | DagangNews Skip to main content

Sunway Property, MBIP bekerjsama pacu inisiatif rendah karbon di perbandaran Sunway Iskandar Puteri

Majlis menandatangani MoU antara Sunway Property dan MBIP - Gambar hiasan dari Sunway Property
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Sept - Sunway Property menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) bagi menerajui inisiatif rendah karbon di dalam Zon Karbon Rendah perbandaran Sunway Iskandar Puteri di Johor.

 

Kerjasama strategik itu mengukuhkan komitmen bersama kedua-dua organisasi bagi memajukan Pelan Tindakan Iklim Iskandar Puteri 2030 (IPCAP 2030) yang menyasar untuk mewujudkan persekitaran bandar yang mampan dan mesra alam.

 

Sunway Property dalam satu kenyataan berkata, perkongsian itu sejajar dengan matlamat pemaju hartanah itu dan MBIP yang menumpukan kepada kemampanan, inovasi dan peningkatan kehidupan bandar bagi membangunkan Sunway City Iskandar Puteri. 

 

“Menerusi kerjasama ini, kami dan MBIP bersama-sama akan melancarkan inisiatif utama, seperti menyepadukan teknologi bandar pintar bagi mengurangkan pelepasan karbon, meneroka reka bentuk seni bina hijau dan mempromosikan penyelesaian pengangkutan mesra alam yang akan mengubah pengalaman kehidupan bandar di Sunway City Iskandar Puteri," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Iskandar Puteri, Gerard Soosay berkata, matlamat Sunway Property untuk menerajui kemampanan dengan memperkenalkan rumusan inovatif rendah karbon adalah sejajar dengan komitmen alam sekitar. 

 

“Kerjasama dengan MBIP ini mengukuhkan usaha kami dalam membangunkan perbandaran model yang bukan sahaja merangkumi amalan hijau tetapi juga melalui usaha yang aktif ke arah objektif yang digariskan dalam IPCAP 2030.

 

“Misi kami jelas, iaitu untuk mewujudkan bandar rendah karbon yang bertenaga sambil menyumbang kepada visi Sunway Group untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050,” katanya. 

 

Menurut pemaju hartanah itu, perkongsian itu mengetengahkan komitmen Sunway Property terhadap matlamat pembangunan mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, iaitu elemen ke-11, bandar dan komuniti lestari.

 

Di samping itu, MoU tersebut turut menekankan peranan penting komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) dalam memupuk minda rendah karbon dalam kalangan penduduk, perniagaan dan komuniti. 

 

Melalui jangkauan awam, Sunway Property menyasar untuk memupuk budaya kemampanan dalam kalangan komuniti dengan menonjolkan kepentingan peranan setiap individu dalam mengurangkan jejak karbon demi mencapai pelepasan karbon sifar. 

 

Datuk Bandar MBIP, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata perkongsian itu mengukuhkan dedikasi kami membina masa depan yang rendah karbon dan mampan. 

 

"Dengan menggabungkan teknologi pintar dan amalan mampan, kami bukan sahaja dapat mengurangkan pelepasan karbon, kami juga dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk," katanya. - DagangNews.com