KUALA LUMPUR 4 Nov - Tawaran awam permulaan (IPO) Life Water Bhd terlebih langgan sebanyak 32.19 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bura Malaysia pada 13 November 2024.
Sejumlah 23.6 juta saham terbitan yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, kumpulan itu telah menerima 16,072 permohonan untuk 785,381,300 saham terbitan dengan nilai kira-kira RM510.49 juta, mewakili kadar lebihan langganan keseluruhan sebanyak 32.19 kali.
Bagi bahagian Bumiputera, 6,814 permohonan untuk 275,659,900 saham terbitan telah diterima, mewakili kadar lebihan langganan keseluruhan sebanyak 22.30 kali.
Bagi bahagian awam Malaysia, 9,258 permohonan telah dikemukakan untuk 509,721,400 saham terbitan, menyebabkan kadar lebihan langganan sebanyak 42.09 kali.
Sementara itu, 14.19 juta saham terbitan yang tersedia untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja yang layak, serta orang yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat telah dilanggan sepenuhnya.
"MIDF Amanah Investment Bank Bhd, sebagai ejen penempatan mengesahkan, sejumlah 59,148,000 saham baharu yang disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang dikenal pasti diluluskan oleh MITI sudah dilanggan sepenuhnya.
"Sejumlah 560,000 saham baharu dan 28,390,000 saham sedia ada yang disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih telah dilanggan sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
MIDF Amanah Investment Bank merupakan penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO itu.- DagangNews.com