TM Global kembangkan pusat data di Cyberjaya dan Johor, penuhi peningkatan permintaan | DagangNews Skip to main content

TM Global kembangkan pusat data di Cyberjaya dan Johor, penuhi peningkatan permintaan

Gambar/ X86 Network
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 Nov - TM Global, cabang perniagaan borong TM, akan mengembangkan Klang Valley Data Centre (KVDC) di Cyberjaya dan Iskandar Puteri Data Center (IPDC) di Johor, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan pengehosan data domestik dan antarabangsa.

 

Ini merupakan fasa seterusnya dalam pelan hala tuju strategik TM untuk mengembangkan ekosistemnya dan meletakkan Malaysia sebagai hab digital pilihan di Asia Tenggara, sejajar dengan aspirasinya untuk menjadi kuasa besar digital menjelang 2030. 

 

Penambahbaikan itu dan kerjasama TM dengan Nxera untuk membangunkan pusat data baharu yang berkesambungan tinggi dan sedia kecerdasan buatan (AI), menyediakan asas untuk perkhidmatan digital seperti awan dan analitik lanjutan.

 

Dijadualkan untuk operasi komersial pada 2025, fasa kedua KVDC dan IPDC akan berupaya menampung gabungan beban IT sebanyak kira-kira 20MW, memenuhi piawaian Uptime Institute Tier-III dan penarafan Leadership in Energy and Environmental Design (LEED) Silver iaitu pensijilan bangunan hijau yang diiktiraf di peringkat global untuk kemampanan jangka panjang.

 

Naib Presiden Eksekutif TM Global, Khairul Liza Ibrahim berkata, KVDC dan IPDC adalah infrastruktur penting dalam ekosistem digital Malaysia, berfungsi sebagai pintu masuk antarabangsa dan untuk menyokong rangkaian 5G. 

 

"Fasa kedua pengembangan pusat data kami ini akan menampilkan reka bentuk yang mampan, meningkatkan kapasiti kami untuk menyokong hyperscaler, pemain OTT, awan dan penyedia AI generasi akan datang serta perusahaan.

 

"Pusat-pusat data TM Global dilengkapi juga dengan tujuh Edge Facilities yang terletak di seluruh negara. Ini menyokong perkhidmatan pengkomputeran dan lokasi bersama berprestasi tinggi untuk mendekatkan kandungan kepada pengguna dengan kependaman rendah," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambah beliau, pihaknya juga telah mempertingkatkan lagi perkhidmatan pengehosan data dengan pemerolehan lesen Operator berasaskan Kemudahan (Facilities-based Operator license) di Singapura baru-baru ini, membolehkan TM Global menyediakan sambungan pusat data ke pusat data yang lain dengan lancar dan selamat melalui rangkaian gentian optik domestik yang luas dan sistem kabel dasar laut antarabangsa. 

 

"Ini membolehkan kami memenuhi permintaan sambungan yang semakin meningkat di rantau ini, menghubungkan pusat data dari Thailand ke Malaysia, Singapura dan Batam di Indonesia,” ujar Khairul Liza.

 

TM Global menawarkan suite komprehensif perkhidmatan berasaskan platform, termasuk Multi-Edge Computing dan Content Delivery, untuk menambah baik penyelesaian pengehosan data. 

 

Perkhidmatan itu disesuaikan untuk mengoptimumkan prestasi dan kecekapan, memastikan rangkaian dipacu data yang mantap dan boleh dipercayai untuk pelanggan. 

 

Dengan memanfaatkan infrastruktur rangkaiannya yang luas, TM Global melengkapkan pembawa, perusahaan, hyperscaler, OTT dan penyedia aplikasi AI generasi akan datang untuk memacu inovasi dan integrasi digital yang lancar. - DagangNews.com