U Mobile, Huawei jalin kerjasama percepatkan penggunaan 5G dalam perniagaan Malaysia  | DagangNews Skip to main content

U Mobile, Huawei jalin kerjasama percepatkan penggunaan 5G dalam perniagaan Malaysia 

(Dari kiri)Ketua Pegawai Penerangan U Mobile, Neil Tomkinson; Ketua Pegawai Pemasaran U Mobile, Navin Manian; Menteri Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil; Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun; Presiden Hal Ehwal Kerajaan Global dan Naib Presiden Huawei Technologies Co., Tonny Bao; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Malaysia, Mano Verabathran.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Sept - U Mobile dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka,mempromosikan penggunaan, rumusan dan perkhidmatan pintar berkuasa 5G dalam perniagaan Malaysia secara kolektif yang dikenali sebagai X2B.

 

Menurut MoU itu, kedua-dua syarikat akan bekerjasama dalam penyediaan rumusan teknologi hujung ke hujung, termasuk rangkaian teras 5G perusahaan, pusat data dan infrastruktur awan, membangunkan aplikasi X2B merentasi sektor termasuk pembuatan, peruncitan dan pertanian.

 

Menerusi perkongsian itu, U Mobile akan memanfaatkan infrastruktur awan Huawei di Malaysia serta ekosistem rakan kongsi antarabangsa dan tempatan bagi meningkatkan landskap X2B.

 

Selain itu, U Mobile dan Huawei Malaysia akan memacu inovasi X2B melalui teknologi baharu seperti RedCap, Internet kebendaan (IoT) pasif dan milimeter gelombang (mmWave).

 

Di samping itu, kedua-dua syarikat itu juga akan membangunkan aplikasi akses wayarles tetap (FWA) 5G bagi menambah baik kes penggunaan seperti penyiaran langsung dan pengangkutan.

 

Ketua Pegawai Pemasaran U Mobile, Navin Manian berkata perkongsian strategik dengan Huawei Malaysia itu akan mempercepatkan penggunaan teknologi 5G dan 5G-Advanced dalam perusahaan, sekali gus meningkatkan inovasi, kecekapan dan produktiviti.

 

“Langkah ini juga selaras dengan usaha berterusan kami untuk memenuhi matlamat Malaysia untuk menjadi negara memacu teknologi dengan mewujudkan peluang untuk semua rakyat Malaysia untuk berkembang maju dalam ekonomi digital,” jelasnya. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun menekankan komitmen syarikat untuk memperkasakan perniagaan Malaysia melalui potensi transformatif penyelesaian X2B.

 

“Perkongsian dengan U Mobile itu mencerminkan usaha berterusan kami dalam membangunkan rumusan teknologi 5G yang bukan sahaja mengukuhkan keupayaan perusahaan tetapi juga sejajar dengan visi Malaysia untuk menjadi ekonomi yang didorong oleh teknologi,” ujarnya. 

 

Majlis menandatangani MoU itu berlangsung di Pusat Taklimat Eksekutif Huawei di Beijing, China dan disaksikan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.- DagangNews.com