Unjuran pendapatan Alliance Bank dijangka naik disokong margin faedah bersih tinggi - HLIB  | DagangNews Skip to main content

Unjuran pendapatan Alliance Bank dijangka naik disokong margin faedah bersih tinggi - HLIB 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menaikkan unjuran pendapatannya ke atas Alliance Bank Malaysia Bhd berdasarkan margin faedah bersih (NIM) yang lebih tinggi.

 

Selepas mesyuarat baru-baru ini dengan pengurusan Alliance, HLIB Research berkata, bank itu kekal optimis dengan berhati-hati.

 

"Dalam keputusan suku tahunan yang akan datang, kami menjangkakakn NIM, pertumbuhan pinjaman yang stabil, pendapatan bukan faedah yang berdaya tahan, bersama-sama dengan kos kredit bersih lebih tinggi," katanya. 

 

Secara keseluruhan, dengan mengandaikan NIM yang lebih tinggi, HLIB Research menyemak semula anggaran garis Bawah Alliance untuk tahun kewangan 2025 (FY25) kepada FY27 sebanyak 2% hingga 3%. 

 

NIM berjaya kekal tidak berubah pada suku pertama (1QFY25) apabila Alliance menaikkan nisbah pinjaman kepada depositnya sebanyak dua mata peratusan kepada 99%, yang seterusnya membantu mengurangkan tekanan kos pembiayaan.

 

“Pada suku yang akan datang, kami menjangkakan NIM akan bertahan dengan baik, penetapan harga kukuh, saingan deposit berdaya tahan dan daya tarikan akaun simpanan akaun semasa yang baik daripada pelanggan baharu kepada bank.

 

"Secara keseluruhan, Alliance mengekalkan panduan penguncupan NIM FY25 tahun penuhnya sebanyak tiga hingga lapan mata asas berbanding ramalan sebelum ini iaitu negatif tujuh mata asas."

 

"Kami menjangkakan nisbah kos kepada pendapatan kekal stabil pada 48% oleh kerana tiada perbelanjaan operasi utama pada 2Q25.

 

Sementara itu, HLIB menurunkan saranan bank kepada "hold" tetapi menaikkan harga sasaran (TP) sebanyak RM5.25 daripada RM5.10, berikutan semakan peningkatan dalam pendapatan. - DagangNews.com