KUALA LUMPUR 29 Okt - LPI Capital mencatat keuntungan bersih bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24) meningkat sebanyak 26.6% kepada RM123.9 juta daripada RM97.9 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
Pendapatan sesaham kumpulan pada tempoh itu juga meningkat daripada 24.58 sen pada tahun leps kepada 31.11 sen bagi satu saham.
Syarikat pelaburan itu berkata, hasil bagi suku itu juga meningkat sedikit kepada RM499.8 juta berbanding RM498.4 juta pada tahun lepas.
"Pertumbuhan hasil didorong oleh segmen pegangan pelaburannya yang meningkat kepada RM21.9 juta berbanding RM19.5 juta pada 3QFY23.
"Perkembangan dalam segmen itu dibantu oleh pendapatan dividen dikecualikan cukai yang lebih tinggi yang diterima daripada pelaburan ekuitinya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kumpulan itu juga berkata, hasil segmen insurans am menyusut sedikit sebanyak RM477.9 juta berbanding RM478.9 juta yang dilaporkan pada suku yang sama sebelumnya akibat hasil insurans yang lebih rendah.
Anak syarikat insurans milik penuh LPI, Lonpac Insurance Bhd mencatat keuntungan sebelum cukai (EBITDA) sebanyak RM130.2 juta pada 3QFY24, mewakili peningkatan 28.3% tahun ke tahun (YoY).
Katanya, keuntungan Lonpac didorong oleh Keputusan Perkhidmatan Insurans yang lebih tinggi yang dilaporkan berbanding 3Q23.
Pertumbuhan perkhidmatan Insurans Lonpac meningkat 25.9% YoY kepada RM111.4 juta daripada RM88.5 juta.
Dalam ada itu, LPI berkata, saluran Lonpac akan dipertingkatkan lagi bagi memanfaatkan keperluan insurans bagi meningkatkan pelaburan langsung domestik dan asing bagi memacu pertumbuhan perniagaan mampan.
“Sementara itu, Kumpulan LPI juga akan meningkatkan kemahiran dan nilai pekerja untuk menarik dan mengekalkan bakat.
"Selain itu, kami juga akan menerokai teknologi bahru bagi mengukuhkan keberkesanan dan kecekapan operasinya bagi memenuhi keperluan perniagaan yang berkembang," katanya. - DagangNews.com