KUALA LUMPUR 20 Dis - Syarikat pembinaan Vestland Bhd (Vestland) memperoleh kontrak bernilai RM70 juta untuk membina sebuah bangunan pejabat 59 tingkat di Jalan Mayang, Kuala Lumpur.
Kontrak tersebut dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuh Vestland, Vestland Resources Sdn Bhd (VRSB) oleh Sg Besi Construction Sdn Bhd.
"Kerja-kerja pembinaan yang akan dilaksanakan di bawah kontrak ini merangkumi reka bentuk, kelulusan, pembinaan, penyiapan, ujian dan perasmian satu blok pejabat strata 59 tingkat dan kemudahan berkaitan," kata syarikat dalam satu kenyataan.
Jelasnya, pembinaan yang bermula semalam, dijangka mengambil masa lebih dua tahun dan dijadualkan siap pada 15 Disember 2027.
Pemerolehan itu merupakan kontrak ketiga yang dimenangi oleh Vestland tahun ini, dengan jumlah nilai kontrak kira-kira RM544.16 juta.
Pada Julai lalu, syarikat memperoleh kontrak bernilai RM195.35 juta untuk menjalankan kerja-kerja bagi projek Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai di Kelantan dari Euro Saga Sdn Bhd.
Pada Februari tahun ini, Vestland juga memperoleh kontrak bernilai RM278.81 juta daripada Sg Besi Construction untuk menjalankan kerja pembinaan bagi dua blok pangsapuri servis di Ara Damansara, Petaling Jaya.
Saham Vestland ditutup turun setengah sen atau 0.85% kepada 58 sen semalam, memberikan syarikat tersenarai di Pasaran ACE itu permodalan pasaran sebanyak RM547.7 juta. - DagangNews.com