Winstar Capital terima kelulusan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Winstar Capital terima kelulusan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Okt - Winstar Capital Berhad menerima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Tawaran awam permulaan (IPO) kumpulan itu melibatkan terbitan awam sebanyak 73.95 juta saham biasa yang terdiri daripada terbitan awam sebanyak 56.55 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 17.40 juta saham sedia ada yang secara kolektif mewakili 25.5% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 290 juta saham biasa.

 

Daripada 56.55 juta saham baharu, 14.50 juta saham baharu akan disediakan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia; dan 15.95 juta saham baharu akan disediakan untuk permohonan oleh pengarah dan kakitangan kumpulan yang layak.

 

Baki 26.10 juta saham baharu akan diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih. Terdapat juga tawaran untuk penjualan 17.40 juta saham sedia ada yang akan diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Vincent Chua Boon Hong berkata, kelulusan daripada Bursa Malaysia menyaksikan mereka semakin hampir untuk disenaraikan di Pasaran ACE dan pihaknya bersedia memanfaatkan peluang yang luas dalam kerancakan baharu alam industry pembinaan serta pasaran hartanah Malaysia.

 

Beliau berkata, aktiviti penyemperitan dan fabrikasi aluminium kumpulan dijalankan di kilang sedia ada di Ijok, Selangor.

 

Katanya, mereka mula membina kilang baru di atas sebidang tanah kosong yang dilabel sebagai Lot 903 yang bersebelahan dengan kilang sedia ada di Ijok untuk mengembangkan lagi kapasiti pengeluaran.

 

Kilang baharu Lot 903 akan mempunyai anggaran keluasan binaan 80,000 kaki persegi dan ia akan menempatkan empat saluran penyemperitan aluminium baharu dengan ruang simpanan tambahan.

 

“Menerusi dana baharu yang diperoleh daripada pelaksanaan IPO, kami merancang untuk menggunakan sebahagian daripadanya untuk membeli empat saluran penyemperitan aluminium tambahan dengan kapasiti gabungan 8,580 tan untuk dipasang di kilang baharu Lot 903 untuk meningkatkan lagi kapasiti kumpulan.

 

"Di kilang sedia ada, kumpulan mempunyai empat saluran penyemperitan aluminium dengan kapasiti tahunan sebanyak 6,705 tan. 

 

"Empat talian penyemperitan aluminium baharu dijangka akan meningkatkan jumlah kapasiti operasi pembuatan kumpulan daripada kira-kira 6,705 tan setahun kepada 15,285 tan setahun," katanya.

 

Kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada suku keempat 2024. - DagangNews.com