Yong Tai mohon lanjutan 6 bulan kemukakan fail cadangan kepada Bursa Malaysia lupuskan Courtyard by Marriott Melaka | DagangNews Skip to main content

Yong Tai mohon lanjutan 6 bulan kemukakan fail cadangan kepada Bursa Malaysia lupuskan Courtyard by Marriott Melaka

Courtyard by Marriott Melaka - Gambar hiasan dari Facebook
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - Yong Tai Bhd memohon lanjutan selama enam bulan untuk memfailkan cadangannya di Bursa Malaysia bagi pelupusan Courtyard by Marriott Melaka. 

 

Permohonan lanjutan yang dikemukakan pada 25 September 2024 itu juga melibatkan penempatan persendirian saham baharu dalam syarikat itu susulan saman yang difailkan oleh Kerjaya Prospek Bhd terhadap unitnya.

 

Pada Julai 2024, Yong Tai merancang untuk melupuskan hotel tersebut pada harga RM160 juta dan menempatkan sehingga 30% daripada jumlah saham dalam syarikat itu bagi mengumpul dana.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata ia meminta lanjutan sehingga 29 Mac 2025 untuk menyerahkan draf pekeliling berhubung cadangan itu kepada pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan.

 

Syarikat itu sebelum ini dikehendaki mengemukakan draf pekeliling pada atau sebelum 30 September 2024.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Subsidiari Kerjaya Prospek saman anak syarikat Yong Tai, didakwa tidak bayar baki kontrak tertunggak lebih RM105 juta

 

Pada bulan lepas, unit firma pembinaan Kerjaya Prospek menyaman unit Yong Tai Apple 99 Development Sdn Bhd atas dakwaan kegagalan membayar jumlah kontrak tertunggak sebanyak RM105.14 juta berhubung projek termasuk Courtyard by Marriott Melaka.

 

Menurut saman Kerjaya Prospek, syarikat itu juga memohon pengisytiharan Apple 99 melanggar perjanjian penyelesaian bertarikh 25 Februari 2020 dan perjanjian jual beli (SPA) hotel.

 

Pada 2016, Kerjaya Prospek memenangi kontrak RM213.75 juta untuk kerja-kerja bangunan utama cadangan projek pembangunan bercampur yang dikenali sebagai "The Apple" di Melaka.

 

Harga saham Yong Tai ditutup tidak berubah pada 24 sen, memberikannya permodalan pasaran RM102.9 juta.- DagangNews.com